10 Tempat Makan Masakan Melayu Murah di Kuala Lumpur

FOODIE
October 12, 2018 - 02:17 PM


Nak makan kat mana? Perghh ni soalan paling susah nak dijawab. Bila di Kuala Lumpur pula kebiasaannya orang makan dekat shooping mall jer. Setiap shopping mall pun ada food court tapi tak kan lah hari-hari nak makan tempat sama je kan. Lagipun makan dekat food court mahal berbanding makan di kedai luar.

Berikut kami cadangkan antara tempat makan masakan melayu yang korang boleh cuba jika ke Kuala Lumpur. 

1. Restoran Sambal Hijau

Restoran yang terletak di Kampung Sungai Penchala, KL ini sangat menarik untuk anda terjah kalau ingin menu masakan lauk pauk kampung yang banyak pilihan dan sedap. Baik untuk makan tengahari atau malam, restoran ini tidak pernah lekang dengan kunjungan pelanggan setempat untuk menjamu lauk kampung seperti daging salai masak lemak cili api, udang galah masak lemak, gulai ketam, aneka kerabu, ulam-ulaman dan sebagainya. Kalau dikira tray lauk yang ada di sini, memang lebih daripada 15 jenis. Walaupun Restoran Sambal Hijau ini beroperasi dari awal pagi sehinggalah lewat malam setiap hari, waktu terbaik untuk datang merasa menu-menu yang masih banyak & panas sekitar 9 pagi -12 tengahari. Kalau lambat atas nasib dan rezeki anda, kalau ada ada kalau habis habislah.

Alamat: 2990, Jalan Sungai Penchala, Kampung Sungai Penchala, 60000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

2. Samudra Exotic River Fish Restaurant 

Restoran yang terletak di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, Kuala Lumpur ini sangat ideal untuk anda sekiranya berhajat nak makan ikan sungai terutamanya dari Sungai Pahang seperti ikan patin buah, lampam, sebarau, tenggalah, baung, kerai, udang galah dan sebagainya. Dan sudah tentu menu-menu lauk di sini lebih kepada ala-ala masakan kampung seperti masak tempoyak, asam pedas, lemak cili api, bakar sambal dan aneka jenis masakan kampung lain. Dibuka dari 11.00 pagi sehingga 10.00 malam sesuai untuk anda lunch/dinner di sini. Suasana restoran pun luas, tenang dan sangat selesa baik untuk makan berdua atau secara berkumpulan

Alamat: 51, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

3. Restoran Rasa Omak Den

Masakan di sini memang kita tahu berasal dari Negeri Sembilan. Memang banyak pilihan masakan lauk pauk kampung yang ada di sini dan yang popularnya semestinya aneka masak lemak cili api, keli sambal, sambal tempoyak daun kayu, itik salai, daging salai, ayam kampung salai, ikan bakar dan macam-macam lagi. Kalau anda orang Nogori kepingin nak makan sedap menu kampung sendiri, sila terjah restoran ini di Lorong Selangor, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur pada setiap hari (kecuali Jumaat) dan ditutup 6 pm.

Alamat: Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur

4. Gerai Ikan Bakar Seri Menanti Jalan Bellamy 

Sesekali kalau rasa nak ubah selera nak makan ikan bakar korang boleh datang sini. Warung ini terletak di Jalan Bellamy berdekatan dengan Muzium Diraja KL. Pelbagai pilihan lauk yang dibakar ada di sini seperti ikan terubuk, ikan kembung, ayam kampung, sotong, pari dan sebagainya. Yang menjadikan ikan bakar di sini sedap adalah kerana resepi rempah ikan bakarnya dibuat sendiri yang memang tiada di tempat lain. Dicadangkan untuk datang ke sini sebelum waktu makan tengahari untuk mengelak bertembung dengan pekerja-pekerja sektiar yang makan di sini, kalau tidak jenuh nak menunggu tempat duduk kosong.

 Lorong Bellamy & Jalan Istana, Bukit Petaling, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

5. Nasi Lemak Antarabangsa

Kedai ini cukup popular setelah viral beberapa kali sebelum ini. Bagi mereka yang suka makan nasi lemak boleh lah cuba makan di sini. Nasi Lemak Antarabangsa diresepikan oleh Puan Normi dan telah banyak menjadi liputan rancangan tv dalam negara. Kalau di Kampung Baru, Kuala Lumpur gerai nasi lemak ini sentiasa penuh terutamanya sebelah malam. Nasi lemak yang disediakan boleh dimakan dengan pelbagai pilihan lauk seperti kerang, sambal sotong, paru, rendang dan sebagainya. Waktu puncak terutamanya hujung minggu memang kena beratur jawabnya walaupun hanya nak dapatkan sebungkus nasi lemak.

Alamat: 4, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

6. Gerai Pak Lang, Kampung Baru

Ini pilihan kalau korang dah malas sangat nak fikir nak gi makan kat mana. Sebab kat sini ada lebih kurang 50 jenis lauk. Harga pun boleh tahan. Namun kalau datang wkatu lunch orang memang ramai. Kat sini juga terkena dengan dengan ikan bakarnya dan setiap hari lebih daripada 50 jenis juadah dihidangkan. Rambang mata nak pilih lauk! Orang ramai masih beratur panjang walaupun sehingga jam 2 petang. Memang sesak kalau waktu lunch, so datang la awal kalau taknak lauk pauk habis!

Alamat: 36, Jalan Raja Abdullah, Chow Kit, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

7. Restoran MZ DarulNaim

Dah lama tak rasa ikan singgang original dari Kelantan. Kalau rindu boleh datang kat sini. Kami kadang-kadang datang dari jauh semata-mata nak makan ikan singgang je. Sebab memang mengingatkan tentang kamoung halaman. Lauk pauk dihidang di dalam bekas yang besar menunjukkan betapa ramai pelanggan datang. Singgang ikan, gulai serati, gulai kawah, gulai ketam dan jeruk maman adalah antara yang menjadi kegemaran pelanggan tetap di sini.

Alamat: No. 64, Lorong Haji Hussein 2, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, 50300

8. Restoran Lina Seafood

Ni bukan Kak Lina Pom Pom yer. Dari luar mungkin biasa-biasa je tapi kedai ini ada lebih 80 hidangan disediakan setiap hari. Nak pilih laut pun dah dekat 30 minit sebab banyak sangat. Bukan hanya pekerja di kawasan sekitar, ramai juga yang datang dari kawasan lain untuk membungkus atau makan di sini.

Alamat: Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur 

9. Restoran Fatimah Selera Kampung

Walaupun lauk pauk yang dijual tidak banyak, sesetengah pelanggan menganggap kedai ini sebagai air tangan ibu kerana kesedapan lauk pauk yang dimasak. Air jagung, ikan cencaru sumbat dan kari ayam di sini wajib anda cuba!

Alamat:  5 Jalan Haji Yahya Sheikh Ahmad, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur

10. Kedai Murah Meriah Nasi Campur

Bagi korang yang tanya kat mana nak makan murah di KL inilah jawapannya. Harga kalau mahal boleh pergi dekat owner dia suruh tukar nama. Kedai Murah Meriah Nasi Campur menyajikan pelbagai masakan Melayu. Antaranya masak lemak cili padi, aneka gulai, siput sedut, ikan goreng berlada, kangkung masak belacan, ayam goreng, dan banyak lagi. Tempat makan best Kampung Baru ini sentiasa penuh di waktu tengah hari. Jadi, pastikan anda datang awal. Ia mendapat rating yang agak tinggi di laman Google iaitu 4.4/5, dengan ulasan “Makanan murah, kecil, tapi padu”.

Alamat: 58, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

****

Lepas ni kalau ada yang tanya lagi nak makan kat mana boleh bagi penampar sebijik. Kebanyakkan kedai-kedai yang kami senaraikan sesuai untuk waktu makan tengah hari kecuali Nasi Lemak Antarabangsa yang di buka selepas jam 6 petang.

Destination: