4 Negeri Di Malaysia Alami Musim Bunga Sakura Seperti Di Jepun

March 13, 2019 - 03:28 PM


Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia mengalami iklim Khatulistiwa iaitu panas dan hujan sepanjang tahun.

Tak sama dengan cuaca di luar negara yang mempunyai 4 musim iaitu musim bunga, panas, luruh dan sejuk.

Namun sejak kebelakangan ini, negara kita merasai pengalaman istimewa apabila buat pertama kalinya tidak dihujani dengan air hujan, sebaliknya dengan taburan kelopak bunga berwarna merah jambu dan putih, seolah-olah kita sedang menikmati musim bunga persis di negara matahari terbit itu!

Lebih bertuah buat penduduk di 4 negeri yang dapat merasai sendiri musim bunga “Sakura” iaitu Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Semuanya atas usaha pihak berkuasa negeri masing-masing yang menanam sejenis pokok disebut “Tecoma” atau nama saintifiknya Tecoma stans daripada keluarga Bignoniaceae dan berasal dari benua Amerika.

Berikut fenomena Bunga Sakura di 4 buah negeri:-

 

1. KEDAH

Sejak minggu lepas, musim bunga “Sakura Kedah” kembali menghiasi landskap di bandar Alor Setar apabila pokok-pokok Tecoma mula berbunga lebat dan mewarnai persekitaran dengan taburan bunga-bunga sakura seakan di Jepun. 

Pemandangan indah yang bermusim ini bukan sahaja menjadi salah satu tarikan pelancong ke Kedah, malah menjadi lubuk rezeki kepada para jurugambar pengantin merakamkan momen-momen indah pasangan yang baru berkahwin berlatarbelakangkan bunga sakura.

Malah, di beberapa lokasi di Daerah Yan iaitu sekitar Jalan Sungai Yan, depan Hospital Yan,Taman Yan berdekatan Caltex serta sepanjang Jalan Dulang juga dipenuhi bunga-bunga tersebut.

Sumber Foto: Kedah Sana Sini

 

2. NEGERI SEMBILAN

Hujan lebat yang melanda Negeri Sembilan awal bulan ini telah mengubah pemandangan di sekitar Kuala Pilah apabila pokok bunga Tecoma mula berbunga dengan mekar dan sangat lebat.

Kira-kira 50 pokok Tecoma yang ditanam bagi mengindahkan panorama di Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir berjaya menghasilkan panorama mempesonakan sepanjang satu kilometer.

Sumber Foto: Ilvan Wang

 

3. MELAKA

Limpahan bunga sama turut berlaku di beberapa kawasan sekitar Melaka seperti Jasin, Ayer Keroh, Bukit Katil dan Bukit Baru.

Ada juga penduduk Melaka yang turut mencadangkan agar kerajaan Negeri meletakkan tanglung Jepun bagi menimbulkan suasana perayaan ‘Hanami’ atau perayaan melihat bunga sakura seperti yang disambut masyarakat Jepun.

Sumber Foto: Netty Muhalizza

 

4. PULAU PINANG

Fenomena bunga Sakura boleh dilihat di sekitar bandar raya Georgetown dan Bukit Mertajam. Bunga-bunga berguguran menutupi tanah dan kelihatan seperti permaidani merah jambu di beberapa jalan utama di Jalan Bayan Baru, Jalan Air Itam dan Jalan Utama.

Sumber Foto: Buletin Mutiara

 

Yang pasti ketika ini di media sosial termasuk Instagram dibanjiri dengan gambar-gambar musim bunga rakyat Malaysia dengan pelbagai hashtag seperti sakuramalaysia dan tecomatree.

Baca juga: Tarikh Bunga Sakura Mekar di Seluruh Jepun Untuk Tahun 2019

 

Destination: