Lapor Atau Daftar Diri Di Kedutaan Malaysia, Jika Anda Ke Luar Negara!

TERKINI
March 20, 2019 - 04:48 PM


Sejak kebelakangan ini pelbagai berita tragis dan bencana alam yang berlaku di luar negara seperti kes tembakan rambang di Christchurch, New Zealand dan Belanda serta kejadian gempa di Lombok yang turut melibatkan nyawa rakyat Malaysia.

Justeru itu, warganegara Malaysia yang berkunjung atau melancong ke luar negara disarankan untuk mendaftar dengan kedutaan Malaysia di negara terbabit.

Saranan tersebut dinyatakan oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya bertujuan memudahkan pihak kedutaan Malaysia mengesan rakyat Malaysia sekiranya terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini, termasuk memberikan bantuan konsular secepat mungkin.

Bagi anda yang ada perancangan untuk berkunjung ke Indonesia, jangan lupa mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di sini -- https://goo.gl/ixYVfy.

Pada Ahad lepas, bencana gempa bumi di Lombok, Indonesia, turut menyebabkan dua rakyat Malaysia terkorban, manakala sembilan lagi cedera.

Malaysia mengucapkan setinggi penghargaan kepada pemerintah dan pelbagai pihak di Indonesia yang banyak membantu rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian itu.

Pelbagai bantuan, antaranya rawatan perubatan percuma oleh hospital Lombok, penjadualan semula tiket pulang tanpa bayaran tambahan oleh ejen pelancongan, penginapan hotel percuma untuk mangsa terbabit, sumbangan kewangan oleh pemerintah Indonesia serta kos penghantaran dua jenazah rakyat Malaysia yang ditanggung syarikat penerbangan Garuda.

Dua jenazah rakyat Malaysia yang terkorban iaitu mendiang Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah, dibawa pulang ke Malaysia semalam dengan penerbangan Garuda GA816, manakala 17 lagi rakyat Malaysia turut pulang semalam dengan penerbangan Air Asia.

Sumber: BERNAMA