Rakyat Malaysia ke Nepal diminta maklum Kedutaan

PANAS
May 15, 2019 - 11:45 AM


Rakyat Malaysia yang ingin ke Nepal sama ada untuk aktiviti lasak seperti mendaki, bercuti atau urusan lain, diingatkan agar memaklumkan kehadiran mereka di negara pergunungan itu dengan mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kathmandu.

Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia di Nepal Ahmad Phadil Ismail berkata ia amat penting bagi memudahkan komunikasi dengan individu mahupun kumpulan termasuk keluarga mereka sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau kejadian tidak diingini.

“Malang tidak berbau, jadi lebih baik kita mengambil langkah berjaga-jaga. Walaupun ketika ini ramai yang sedar akan kepentingan untuk berdaftar dengan kedutaan, namun hanya sebilangan kecil sahaja yang berbuat demikian.

“Kita akur walaupun ia bukan satu kemestian atau perkara wajib, namun pihak kedutaan sentiasa menggalakkan supaya memaklumkan kepada kedutaan lebih-lebih lagi kebelakangan ini ramai warga Malaysia mengunjungi Nepal khususnya untuk aktiviti mendaki,” kata beliau.

Malah, pihak kedutaan juga sedia menyelaras dengan rakyat Malaysia di Nepal untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Pada 23 April lepas, pendaki negara Dr Chin Wui Kin, 49 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Singapura selepas dilaporkan terkandas berhampiran Gunung Annapurna Nepal selama dua malam selepas terpisah dengan kumpulan 30 pendaki lain ketika menuruni gunung itu.

Sebelum itu, mangsa berjaya mendaki Gunung Annapuna setinggi 8,100 meter, namun gagal kembali ke kem berhampiran yang terletak kira-kira satu kilometer dari puncak.

Rakyat Malaysia boleh mendaftar kehadiran mereka di Nepal menerusi emel mwkathmandu@kln.gov.my atau menghubungi kedutaan di Kathmandu menerusi talian +977-1-5545680 atau +977-1-5545681.

Sumber: BERNAMA

 

;