Gunung Kinabalu Dibuka Semula Sabtu Ini, Hanya 100 Pendaki Dalam Satu Masa!

TERKINI
May 14, 2020 - 12:30 PM


Ini satu berita baik untuk para pendaki yang mungkin mempunyai impian untuk menawan gunung tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu!

Bermula Sabtu ini, laluan pendakian Gunung Kinabalu akan dibuka kembali selepas ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.



Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Maklarin Lakim bagaimanapun berkata, hanya 100 pendaki dibenarkan mendaki pada satu-satu masa dan mereka perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Aktiviti pendakian akan dibuka Sabtu ini (16 Mei) termasuk malim gunung juga akan mula bekerja," katanya kepada Bernama.



Beliau berkata, bayaran permit pendakian tetap sama iaitu warganegara Malaysia dikenakan RM50 untuk dewasa dan RM30 bagi yang berumur 18 tahun ke bawah, manakala pelancong asing perlu membayar RM200 untuk dewasa dan RM80 bagi kanak-kanak.

Bayaran tambahan sebanyak RM400 akan dikenakan untuk kemudahan penginapan dan makanan, bayaran malim gunung RM230 dan insurans RM7.

Menariknya jika korang berminat untuk mendaki Gunung Kinabalu bersama rakan pendaki lain bermula Sabtu ini sehingga 16 November depan -- TTS akan memberikan diskaun 50 peratus daripada yuran masuk.

Korang boleh membuat tempahan melalui TTS dan menerusi dalam talian apabila sistem tempahan itu  dilancarkan tidak lama lagi.

Sumber: Bernama

Destination: