Ah Sudah Tak Pasal-Pasal Seorang Pendaki Kontak Rapat Positif, Kompleks Taman Kinabalu Kena Tutup 2 Minggu

TERKINI
September 24, 2020 - 01:44 PM


Sejak kebelakangan ini, angka kes positif pandemik COVID-19 di negara semakin hari semakin meningkat hingga kadang-kala mencecah ratusan kes dalam sehari.

Paling banyak kes yang dikesan pula adalah di Sabah memandangkan banyak kluster yang wujud di sana apatah lagi sekarang ni sedang hangat berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN).

Terbaharu, seorang pendaki Gunung Kinabalu dari Tawau dilaporkan mempunyai kontak rapat dengan individu yang didapati positif Covid-19 dan ia sekaligus menyebabkan Kompleks Taman Kinabalu terpaksa ditutup bermula 25 September sehingga 8 Oktober ini.

Notis penutupan itu dikeluarkan oleh Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah.

Setiausaha Tetapnya, Dr Jamili Nais berkata pihaknya dimaklumkan bahawa pada tarikh 13 sehingga 14 September lalu, seorang pendaki dari Tawau mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 didapati positif.

Oleh itu, JKNS mengesyorkan supaya Kompleks Taman Kinabalu ditutup kepada orang awam termasuk pendaki ke Gunung Kinabalu selama 14 hari berkuatkuasa pada 25 September sehingga 8 Oktober.

Malah, semua kakitangan yang bertugas di pusat saringan, kaunter pendaftaran serta pintu masuk Kompleks Taman Kinabalu dan Panalaban dikehendaki menjalani saringan kesihatan di Dewan Kinabalu.

Selain itu, semua malim gunung dan porter serta kakitangan Sutera Sanctuary Lodge (SSL) dan Mt Torq yang terdedah kepada jangkitan Covid-19 ketika bertugas pada dua tarikh berkenaan dikehendaki menjalani saringan kesihatan.

Jika didapati kakitangan dan malim gunung rombongan pendaki yang dikenalpasti terdedah rapat, mereka dikehendaki menjalani kuarantin di rumah sehingga keputusan saringan kesihatan diperolehi.

Walau bagaimanapun, kakitangan Taman, SSL dan Mt Torq serta agensi yang ada kepentingan akan dibenarkan masuk di samping semua kemudahan awam akan dilakukan proses nyahkuman.

Sumber: Harian Metro

 

Destination: