Sabah Pertimbang Terima Ujian Kendiri Air Liur Untuk Masuk Negeri Tu!

TERKINI
November 12, 2021 - 05:20 PM


Ketika ini, Sabah hanya membenarkan kemasukan individu dari luar yang mempunyai keputusan negatif ujian saringan RT-PCR atau RTK-Antigen sebagai syarat memasuki negeri itu.

Namun kini Sabah sedang mempertimbangkan untuk turut membenarkan ujian kendiri menggunakan air liur.

Jurucakap Kerajaan Negeri Sabah berkaitan perkembangan harian COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pihaknya telah mengutarakan perkara tersebut kepada pengetahuan Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 Sabah semalam.

"Jawatankuasa sedia ada sentiasa berusaha untuk memudahkan perjalanan masuk ke negeri Sabah.

"Sebagai misalan, semalam saya telah minta Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 negeri memikirkan 'self test' ataupun ujian kendiri boleh diambil kira sebagai memenuhi syarat untuk masuk ke Sabah. Dan itu sedang dipertimbangkan," katanya.

Menjelaskan mengenai syarat kemasukan sedia ada, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, keperluan ujian saringan itu dibuat setelah mengambil kira bilangan kes COVID-19 di negeri itu yang disifatkan masih belum berada di tahap stabil.

"Ini terbit daripada kebimbangan kita di Sabah bahawa keadaan di sini belum stabil. Kalau kita lihat, ia turun naik, sekejap turun, sekejap naik.

"Semalam, jumlah kes positif kita 573 kes. Tetapi sebelum itu kita sudah sampai kepada 364 kes.

"Jadi, saya rasa kestabilan kes ini belum sampai ke tahap yang kita rasa ada keyakinan untuk membenarkan semua orang masuk ke Sabah tanpa apa-apa syarat selain daripada syarat vaksinasi yang lengkap," tambahnya.

Sumber: Astro Awani

Destination: