Jom Serbu Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang, Bermula 13 April Ini
FOODIEKalau korang jenis kaki makan dan sukakan makanan Penang seperti laksa, nasi kandar, pasembor, char kuey teow dan mee sotong, jangan lupa untuk serbu Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFF) yang diadakan selama 16 hari bermula 13 April ini!
Bertempat di Lebuh Pantai, Georgetown, Pulau Pinang, kalau korang ke sana seawal hari pertama lagi korang akan dapat enjoy pertunjukan bunga api sempena pembukaan rasminya yang akan diadakan pada pukul 8.00 malam, Sabtu ini.
Sebenarnya PIFF ini merupakan acara tahunan yang telah diadakan sejak tahun 2017.
Ia dianjurkan bagi mempromosikan ‘Pulau Mutiara’ itu yang kaya dengan pelbagai juadah tradisi dan terkenal di kalangan pelancong dalam dan luar negara, sebagai syurga makanan di benua Asia.
Menariknya tahun ini, “Jamuan Makan Di Atas Feri” akan diadakan antara pukul 6 petang hingga 9 malam bagi memberi peluang pengunjung menikmati hidangan lazat makan malam sambil ditemani keindahan pemandangan matahari terbenam dari atas feri.
Dengan bayaran hanya RM100 seorang, buffet hidangan makanan tempatan akan disajikan sepanjang perjalanan feri tersebut.
Tahun ini juga PIFF ada 4 acara baru iaitu Penang Mainland Food Walk, Penang Island Food Walk, Rhythmic Dining dan Wine Retreat.
Antara yang menjadi tumpuan ramai adalah Festival Makanan Jalanan di mana semua gerai makanan popular di Penang akan dikumpulkan di bawah satu bumbung dan dimasak depan pelanggan agar mereka dapat menikmati hidangan panas-panas terus dari kuali.
Selain itu, pengunjung juga suka serbu event ‘Taste of Penang’ yang diadakan di Jalan Kelawai dan ‘Penang Seafood Galore’ yang berlangsung di Design Village.
Bukan sahaja acara dalam skala besar, malah PIFF turut dimeriahkan dengan Mini Festival seperti Kopi O, Mini Curry Festival, RM2 Mini Food Festival, Gertak Sanggul Food Truck Rally dan Mini Barbecue Feast.
Kesemua maklumat tentang acara yang berlangsung di PIFF, boleh didapati di laman web rasmi mereka di www.piff.com.my atau Facebook Penang International Food Festival.
Macam menarik pula dengar PIFF tahun ni kan? Tak sabar nak mai Penang minggu ni!
Ingat korang, PIFF ini akan berlangsung dari 13 hingga 28 April depan sahaja. Jangan terlepas tarikh tau!