Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 Yang Baharu Bakal Dilancarkan Ogos Nanti

TERKINI
July 09, 2019 - 06:40 PM


Januari lalu, logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dilancarkan mendapat kritikan hebat dek kerana rekaannya yang dikatakan ‘biasa’ dan tidak berkualiti.

Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah mengadakan satu pertandingan mencipta logo baharu bagi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Logo Tahun Melawat Malaysia (TMM) atau Visit Malaysia 2020 (VM2020) yang baharu ini bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Ogos nanti dan semua persiapan bagi VM2020 sedang rancak diadakan.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, persiapan telah dilakukan sebanyak 60 peratus selain mengambil bahagian dalam acara World Travel Market di United Kingdom dan Arabian Travel Market yang bakal berlangsung di Dubai.

Menurut rekod, jumlah pelancong yang datang ke Malaysia pada tahun lalu adalah seramai 25.8 juta orang dan ia berjaya menyumbang sebanyak RM84.1 bilion kepada negara.

Diharapkan, VM 2020 ini akan berjaya menarik lebih banyak pelancong untuk ke Malaysia dan semua pihak harus bekerjasama untuk menjayakan program ini seterusnya mengangkat Malaysia kembali sebagai destinasi pilihan pelancong-pelancong asing.

Nota Editor : Harap pihak Tourism Malaysia dalam masa yang sama menaik taraf segala kemudahan yang ada selain fokus kepada logo. Kalau nak diikutkan, negara jiran seperti Thailand dan Indonesia dah rancak mempromosikan produk-produk pelancongan baru mereka.