Kaunter Daftar Masuk Di KLIA Disusun Semula

TERKINI
August 05, 2019 - 08:05 PM


Ini berita yang perlu diberi perhatian jika korang seorang kaki travel yang sering menggunakan perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang menyusun semula kaunter daftar masuk (CIC) dan memindahkan beberapa kiosk layan diri untuk meningkatkan keselesaan dan memudahkan urusan penumpang.

Antara penerbangan yang terbabit dalam inisiatif ini adalah Malaysia Airlines dengan kod penerbangan MH, Malindo Air (OD), Thai Smile (WE), Vietnam Airlines (VN), Pakistan Airlines (PK), Royal Jordanian (RJ), Cathay Dragon (KA), Philippines Airlines (PR) dan Bangkok Airways (PG).

Berikut antara perubahan yang akan berlaku bermula 7 Ogos ini :-

1. Semua penumpang MH yang mendaftar di kelas ekonomi ke destinasi antarabangsa, perlu mendaftar masuk di baris H.

2. Syarikat penerbangan yang kini beroperasi di baris H, iaitu dengan kod WE, VN, PK, RJ, KA, PR dan PG akan bergerak ke baris C.

3. Kod OD (Malindo Air) akan berpindah ke baris F.

Dengan penempatan semula ini ia diharap dapat memastikan penumpang berurusan dengan lebih selesa, mudah dan dalam tempoh yang lebih singkat.

Untuk rekod, selama 21 tahun, Malaysia Airlines telah beroperasi di baris B, C dan D yang berurusan dengan lebih 4,000 penumpang daripada 8,000 penumpang yang turut berurusan dengan syarikat penerbangan lain di baris A, E, F dan G dari 6 hingga 9 pagi setiap hari.

Bagi baris H hingga M, bilangan penumpang boleh mencapai sehingga 2,000 orang.

Dengan barisan CIC yang baru disusun semula, MAHB berharap untuk mencapai pengedaran penumpang yang sama di semua baris serta mengurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus aliran semasa.

Di samping itu, inisiatif ini juga akan menggalakkan lebih ramai penumpang menggunakan kiosk daftar masuk diri untuk pengalaman perjalanan yang lebih lancar.

Sumber: Harian Metro