Lakukan Perkara Ini Jika Berhadapan Kecemasan Ketika Melancong Ke Luar Negara

September 23, 2019 - 04:02 PM


Pelbagai tips dan panduan selalu dikongsikan oleh kaki travel baik apabila melancong ke luar negara. Bukak sahaja blog, laman web mahupun group di Facebook, pasti setiap hari ada perkongsian tentang itenerari, cara tempah tiket murah sehinggalah cara nak elakkan terkena scam.

Antara topik yang selalu juga dibincangkan adalah faktor keselamatan ketika melancong dan juga travel insurans. Macam mana kalau berlaku kecemasan? Menurut perkongsian Pejabat Wisma Putra di Kementerian Luar Negeri Malaysia melalui sebuah video ini menjelaskan secara ringkas tentang tindakan yang patut kita lakukan sekiranya berhadapan dengan kecemasan diluar negara.

Berikut adalah 6 tips penting jika berlaku kecemasan di luar negara :

#1. Insurans Perjalanan

Insurans perjalanan atau travel insurans perlu diambil. Paling tidak, dinasihatkan ambil insurans bersama dengan tiket perjalanan. Ini amat penting sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ketika berada di luar negara.

Sebelum ini kami pernah kongsikan tentang pentingnya travel insurans ni. Travel insurans korang boleh ambil dengan agen, ataupun boleh buat sendiri secara online.

 

#2. Simpan Salinan Dokumen Atas Talian

Selalu kami ingatkan, buat salinan atau simpan segala dokumen berkaitan perjalanan anda secara online. Tak kiralah menggunakan google drive dan sebagainya. Kalau rasa tempat anda susah nak akses komputer mahupun internet, photostat banyak salinan, letak berasingan. Setidaknya, kalau hilang satu, anda ada back – up.

 

#3. Lapor Polis Dahulu, Baru Ke Kedutaan

Ingat, sekiranya berlaku apa – apa kejadian, buat laporan polis dahulu. Selepas buat laporan pihak Polis di negara yang korang pergi, baru pergi ke kedutaan Malaysia yang terdekat. Tanpa laporan polis, sukar untuk kedutaan bantu.

Macam mana nak cari kedutaan Malaysia di luar negara? Boleh rujuk di sini.

 

#4. Negara Tanpa Kedutaan Malaysia, Lapor Pada Kedutaan Terdekat

Sekiranya destinasi yang anda tuju itu tidak mempunyai kedutaan Malaysia, dapatkan nombor kedutaan dari laman web Kementerian Luar Negeri dan hubungi kedutaan negara terdekat untuk laporkan masalah anda.

 

#5. Hubungi Kedutaan Jika Berlaku Kematian atau Kemalangan Rakan

Sudah menjadi tanggungjawab kedutaan untuk membantu warganegara kita dalam segala urusan di luar negara termasuklah kemalangan ataupun kematian. Jika berhadapan dengan perkara ini, sila hubungi kedutaan dengan kadar paling segera. Bantuan akan diberikan.

 

#6. Daftar Dengan Sistem E-Konsular

Ini adalah penting. Pastikan anda mendaftar dengan sistem e-konsular supaya pihak kedutaan mempunyai maklumat mengenai anda dan perjalanan anda. Secara tidak langsung, bantuan boleh diberikan sekiranya anda memang memerlukan.

[ Klik Untuk Daftar e-Konsular ]

 

Berikut adalah video yang kami sebutkan tadi -

Kami harap, perkongsian kami ini dapat membantu suatu hari nanti.