Taman Tema Hello Kitty Johor Bakal Ditutup 1 Januari 2020!

TERKINI
October 03, 2019 - 11:52 AM


Siapa yang suka berkunjung ke Taman Tema Sanrio Hello Kitty Town di Johor? Ini ada satu berita yang menyedihkan.

Taman tema yang terletak di Puteri Harbour itu bakal ditutup pada 1 Januari 2020!

Keputusan untuk menghentikan operasi taman tema tersebut dibuat oleh sebuah syarikat swasta yang mendakwa ia kurang mendapat sambutan sepanjang beberapa tahun lalu dan kerajaan negeri sekadar menghormati keputusan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Negeri Johor, Liow Cai Tung berkata penutupan taman tema itu tidak akan mempunyai kesan besar ke atas ketibaan pelancong ke negeri tersebut meskipun Kempen Melawat Johor 2020 juga bakal bermula pada 1 Januari depan.

Malah, katanya Kerajaan Negeri tidak bergantung kepada satu jenis produk pelancongan sahaja, sebaliknya Johor mempunyai destinasi baru lain yang dirancang termasuk kawasan Pantai Desaru.

Taman Tema Sanrio Hello Kitty Town bernilai RM110 juta itu dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada tahun 2012, namun berdepan cabaran untuk menarik pelawat ke sana.

Sementara itu, ada juga laporan yang mendakwa bahawa syarikat dana pelaburan negara iaitu Khazanah sedang mempertimbangkan untuk menjual Legoland pertama di Asia yang terletak di Johor. 

Sumber: Mediacorp. sg  
 

Destination: