Sistem Pengecaman Wajah Bakal Dilaksanakan Di Airport Thailand

TERKINI
October 24, 2019 - 12:27 PM


Selepas ini jika anda bercuti ke destinasi pelancongan terkenal Thailand iaitu Krabi, Surat Thani atau Udon Thani, anda bakal menjalani sistem pengecaman wajah di pintu masuk udara negara itu.

Ini kerana, Thailand bakal melaksanakan "lapangan terbang pintar" yang menggunakan sistem pengecaman wajah di 5 buah lapangan terbangnya sebagai langkah mengurangkan kesesakan dan meningkatkan ciri keselamatan.

Teknologi itu dijangka menggantikan sistem pemeriksaan sedia ada yang mengambil masa yang agak lama, menyebabkan berlaku kesesakan berikutan peningkatan bilangan penumpang udara.



"Sistem sedia ada memerlukan penumpang menunjukkan kad pengenalan atau pasport mereka sebanyak tiga kali", kata Timbalan Menteri Pengangkutan Thaworn Senneam.

Pada peringkat awal, sistem itu akan dipasang di lapangan terbang serantau yang mengendalikan jumlah penumpang yang ramai.



Lapangan terbang terbabit ialah di Krabi dan Surat Thani di bahagian selatan, manakala Udon Thani, Ubon Ratchathani dan Khon Kaen di bahagian timur laut.


Satu panel terdiri jawatankuasa kerja dianggotai wakil Jabatan Lapangan Terbang, Polis Diraja Thailand dan Kementerian Dalam Negeri akan ditubuhkan untuk mengkaji sistem itu.

Sebelum ini, Jabatan Kastam Thailand berkata sebanyak 23 buah mesin sinar-X akan dipasang di karusel bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, untuk meningkatkan kecekapan pemeriksaan keselamatan dan mencegah penyeludupan barang.

Ia akan dijangka beroperasi pada awal 2020.

Sumber: Bernama