Larangan Aktiviti Mendaki, Memancing Dan Berkelah Di Pahang Sehingga Januari 2020
TERKINISepanjang musim Monsun Timur Laut ketika ini, kerajaan negeri Pahang telah mengeluarkan larangan bagi kesemua aktiviti mendaki dan beriadah di pusat rekreasi di negeri berkenaan. Berkuatkuasa minggu lalu, larangan ini akan berterusan sehingga 20 Januari 2020 atau satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian.
Tindakan mengeluarkan larangan ini dibuat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini sepanjang musim Monsun Timur Laut ini. Larangan yang dilakukan melibatkan aktiviti riadah seperti berkhemah, mandi – manda, menyelam dan memancing sama ada di laut, tasik dan air terjun. Ini bagi mengelakkan pengunjung berdepan dengan fenomena kepala air di kawasan air terjun, lebih – lebih lagi jika hujan yang berlarutan.
Pihak Berkuasa Tempatan dan jabatan berkaitan telah dimaklumkan dan diminta meningkatkan aspek keselamatan terutamanya dari segi pemantauan lebih – lebih lagi di musim cuti persekolahan ini. Langkah menaikkan papan tanda amaran, peringatan dan larangan di lokasi – lokasi terlebat telah diadakan.
Sebagai langkah bersiap siaga, cuti pegawai dan kakitangan di Pahang telah dibekukan sehingga 20 Januari 2020.