Jepun Tawarkan Khidmat Geisha Dalam Kereta Api Bermula Mac Ini

TERKINI
February 25, 2020 - 01:14 PM


Jepun sememangnya terkenal dengan penampilan pelayan wanita tradisionalnya yang dipanggil 'Geisha, Maiko atau Geiko'.

Tapi seperti kita sedia maklum, bukan semua orang mampu untuk melihat persembahan ekslusif golongan ini yang boleh tahan mahalnya.

Namun, ini ada berita baik bagi mereka yang memang dah lama teringin untuk melihat sendiri keunikan persembahan Geisha.

Mulai Mac ini, pelancong yang datang ke Jepun hanya perlu membeli tiket kereta api Nagaragawa untuk menikmati persembahan Geisha sepanjang perjalanan tersebut.

Para penumpang bakal dihiburkan dengan tarian tradisional oleh wanita disebut Maiko. Bukan itu sahaja malah mereka turut dihidangkan dengan kotak makanan yang berisi hidangan tradisional Jepun.

Perkhidmatan Maiko di dalam kereta api Jepun ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu kerana layanan tersebut pernah juga dilakukan sekitar tahun 2017, namun dihentikan pada 2 tahun lepas.

Bulan depan, ada beberapa pakej pilihan perjalanan yang ditawarkan kepada pelancong, antaranya 'Obento Plan' yang akan berlepas dari Stesen Seki serta berakhir di Stesen Gujo-Hachiman. 

Penumpang yang memilih pakej ini juga akan diberikan kotak makan tengah hari dari restoran Jepun di Mino.

Manakala pakej kedua yang ditawarkan adalah 'Horoyoi Plan' iaitu perjalanan yang berlepas dari Stesen Gujo-Hachiman hingga ke Stesen Seki, namun penumpang hanya diberikan minuman serta makanan ringan sahaja.

Kedua-dua pakej berkenaan masing-masing berharga 9,300 yen atau RM355 untuk dewasa.

Jika ingin memilih untuk kedua-dua pakej pergi dan balik tersebut, penumpang bakal ditawarkan dengan potongan harga istimewa iaitu 15,900 yen.

Kereta api yang dilengkapi dengan khidmat Maiko itu akan beroperasi pada 1, 15, 20 dan 25 Mac ini serta boleh memuatkan kapasiti seramai 25 penumpang.

Setiap pakej yang dijual turut diberikan one-day-pass yang membolehkan penumpang menukar kepada perkhidmatan kereta api biasa di Stesen Mino-Ota dan Seki.

Selain mendapat layanan istimewa di dalam kereta api, penumpang Nagaragawa juga bakal menikmati pemandangan indah sepanjang menelusuri Sungai Nagara.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web rasmi Nagaragawa.

Sumber: The Asahi Shimbun

Destination: