Jangan Ambil Gambar Geisha & Maiko Sesuka Hati Di Kyoto, Jepun Kalau Tak Denda 10,000 Yen!
TERKINITak dinafikan Jepun adalah antara negara yang paling digemari untuk dikunjungi pelancong dari seluruh dunia termasuk Malaysia kerana keindahan negaranya serta kebudayaan unik yang dimiliki rakyat 'Negara Matahari Terbit' itu.
Selain Tokyo, Osaka, Chiba dan Hokkaido --- Kyoto adalah antara bandar yang wajib dikunjungi jika anda melancong ke Jepun.
Namun, sekiranya anda berjalan-jalan ke Gion iaitu salah sebuah daerah terkenal di Kyoto ada larangan yang perlu anda patuhi dan perlu berhati-hati!
Peraturan yang dimaksudkan adalah anda dilarang untuk mengambil gambar di jalan persendirian termasuk memotret gambar bersama 'Geisha, Maiko dan Geiko' yang sememangnya popular sebagai lambang pelayan wanita tradisional Jepun.
Jika anda didapati melanggar peraturan yang telah dikuatkuasakan sejak 25 Oktober lalu, anda bakal berdepan hukuman denda sebanyak 10,000 Yen atau RM384!
Bagaimana nak tahu sama ada jalan yang kita lalui tu jalan persendirian?
Jangan bimbang terdapat papan tanda memaklumkan larangan itu yang diletakkan pada jalan tersebut.
Larangan itu dikuatkuasakan kerana kebanyakan pelancong tidak menghormati penduduk di kawasan tersebut apabila mengambil gambar dan merakam video tanpa persetujuan mereka.
Penduduk di daerah tersebut turut mengedarkan buletin kepada pelancong khususnya untuk memaklumkan larangan tersebut.
Pelancong juga dinasihati supaya menjaga perlakuan mereka sewaktu berada di sekitar kawasan tersebut.
Setiap gerak-geri orang ramai akan dipantau menggunakan rakaman kamera litar tertutup.
Sekiranya pengunjung melanggar larangan itu, mereka tidak akan terlepas dan akan dijejaki menggunakan video rakaman tersebut.
P/S: Sesiapa yang merancang nak ke Kyoto tu jagalah tingkah laku korang masa kat sana nanti ya!