Angkara 'Pelancong Degil', 9 Rusa Nara Park Jepun Mati Termakan Plastik!

TERKINI
July 11, 2019 - 01:54 PM


Siapa yang melancong ke Jepun, tak sah kalau tak melawat Nara Park yang popular dengan rusa-rusa jinak yang berkeliaran bebas dan boleh bergaul mesra dengan pelancong.

Tapi ini ada satu berita sedih mengenai rusa di sana.

Sembilan ekor rusa di Nara Park didapati mati selepas termakan beg plastik, didakwa akibat trend pelancongan yang semakin meningkat dan tidak terkawal di taman berkenaan.

Agensi berita AFP melaporkan, Yayasan Pemuliharaan Rusa Nara berkata terdapat gumpalan beg plastik dan bungkusan snek ditemui dalam perut bangkai rusa yang telah dibedah siasat.

Sampah terbesar yang ditemui dalam perut salah seekor rusa itu pula adalah seberat 4.3 kilogram!

Kematian rusa di taman hidupan liar terkenal itu direkodkan antara Mac dan Jun tahun ini.



Nara Park mempunyai lebih daripada 1,000 ekor rusa, yang dibiarkan bebas berkeliaran di jalanan dan sering mendekati para pelancong yang menawarkan biskut khas untuk haiwan itu.

Para pelancong dilarang memberi makanan selain daripada biskut yang disediakan, namun malangnya masih ada sesetengah pelancong yang memberikan makanan berlainan sesuka hati.

Rusa-rusa yang menjadi mangsa itu mungkin menyangka bahawa snek dan bungkusannya boleh dimakan terus.



Malah, haiwan itu juga dikatakan turut memakan beg plastik yang dibuang ke tanah oleh para pelancong yang tidak bertanggungjawab.

Selain rusa, Nara Park juga menawarkan pemandangan menarik termasuk kuil binaan kayu yang dibina sejak berkurun-kurun lamanya.

Bilangan pelancong yang mengunjungi bandar Nara semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan tahun 2017 sahaja telah merekodkan sejumlah 16 juta pengunjung.

P/S: Sebab itu sebagai pelancong kita wajib jaga adab, tingkah laku serta kena ada sifat tanggungjawab dalam menjaga alam sekitar dan haiwan di tempat yang kita kunjungi! Barulah semua aset pelancongan tu akan kekal sampai ke generasi anak cucu cicit kita. Faham....

Destination: