11 Resort Terapung Paling 'Wow' Di Malaysia!

February 04, 2020 - 05:55 PM


Memandangkan ketika ini penularan wabak COVID-19 semakin membimbangkan dan banyak negara di seluruh dunia telah merekodkan kes jangkitan serta kematian -- adalah lebih baik sekiranya buat masa sekarang kita cuti-cuti dalam Malaysia sahaja.

Bagi yang mencari percutian santai dan menenangkan di atas vila terapung, negara kita sebenarnya memiliki banyak destinasi menarik yang boleh dikunjungi.

Selain lokasinya yang menakjubkan di atas permukaan air laut, suasana mendamaikan kerana dikelilingi alam semulajadi tropika pastinya bakal membuatkan percutian anda lebih romantik, mewah dan mendamaikan.

Berikut 11 resort atas air di Malaysia yang boleh anda pilih untuk bercuti bersama orang tersayang!

1. AVANI SEPANG RESORT 

Terletak di sepanjang pantai, Avani Sepang Resort terkenal dengan vila laut berbentuk kelapa sawit.

Menawarkan lebih 315 bilik yang luas dengan 4 jenis penginapan yang boleh dipilih, resort ini menjanjikan tempat yang tepat untuk bulan madu dan percutian bagi anda sekeluarga.

Dikelilingi oleh perairan Selat Melaka, pemandangan matahari terbenam dapat dilihat dari setiap bilik.

Resort lima bintang ini menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi seperti menyelam, sukan air dan banyak lagi!

HARGA: Bermula RM546

ALAMAT: 67, Jalan Pantai Bagan Lalang, Kampung Bagan Lalang, 43950 Sungai Pelek, Selangor

NO TEL: 03-3182 3600

 

2. LEXIS HIBISCUS, PORT DICKSON

Terletak di sepanjang pesisir pantai Pasir Panjang di Port Dickson, Lexis Hibiscus sememangnya popular dengan jolokan vila berbentuk bunga kebangsaan iaitu Bunga Raya.

Dengan lebih daripada 600 vila dan suite, Lexis antara vila atas air yang sering menjadi wishlist percutian bagi pasangan untuk berbulan madu.

Setiap vila di resort ini dihiasi dengan rekaan dalaman yang moden dan elegan, manakala salah satu bahagian terbaik mengenai vila ini ialah kolam renang peribadi dan saunanya! 

Di sini anda juga berpeluang untuk mencuba aktiviti memberi makanan kepada ikan-ikan di laut, yang tentunya pasti menyeronokkan dan memberi pengalaman berbeza.

HARGA: Bermula dari RM698 

ALAMAT: 12th Mile, Jalan Pantai, Port Dickson, 71250 Pasir Panjang, Negeri Sembilan

NO TEL: 06-660 2626

 

3. GAYANA MARINE RESORT, SABAH

Bercuti di sini anda bakal menikmati 2 pakej keindahan semulajadi yang menakjubkan iaitu berada di atas laut dengan menghadap pemandangan mempesonakan gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu.

Terdapat lebih daripada 52 vila tropika yang dikelilingi hutan bakau dan laut yang luas.

Pada waktu malam anda hanya ditemani dengan bunyi mendamaikan daripada hempasan ombak-ombak kecil di bawah bilik penginapan anda.

Selain aktiviti snorkeling atau menyelam, di sini juga anda boleh melawat Pusat Penyelidikan Ekologi Marin bagi menambahkan pengetahuan mengenai pemeliharaan terumbu karang dan hidupan laut yang semakin terancam.

HARGA: Bermula dari RM1,220 

ALAMAT: Malohom Bay Pulau Gaya, 88000, Kota Kinabalu, Sabah

NO TEL: 08-8380 390

 

4. GEM ISLAND RESORT & SPA, TERENGGANU

Resort yang terletak di pulau persendirian, Pulau Gemia ini sangat ekslusif dan romantik buat pasangan yang memilih untuk bermadu kasih di sini.

Bakal dibuka semula mulai 1 Mac nanti kerana berakhirnya musim monsun, resort ini menawarkan kira-kira 45 buah vila yang menghadap ke laut.

Istimewanya jika bercuti di sini, anda dan pasangan berpeluang untuk melihat secara dekat penyu yang mendarat untuk menetaskan telur di pulau tersebut. Tentunya ia merupakan sebuah pengalaman berharga yang susah untuk didapati di mana-mana.

HARGA: Bermula dari RM349 

ALAMAT: Lot 8204, Pulau Gemia, Mukim Risula, Daerah Marang, 21600 Gemia Island, Terengganu

NO TEL: 03-6205 5555

 

5. AVILLION, PORT DICKSON

Diilhamkan oleh suasana perkampungan nelayan Melayu, resort bertaraf 5 bintang ini hanya menghidangkan layanan dan servis terbaik buat tetamunya.

Dengan pemandangan Selat Melaka, terdapat lebih 250 bilik yang direka khas sebagai chalet dan vila terapung yang dilengkapi balkoni peribadi menghadap laut, bilik mandi berlangitkan awan biru dan tab jakuzi sendiri!

Soal makan, resort ini menawarkan hidangan lazat dengan menu tempatan hingga hidangan antarabangsa yang pastinya membuka selera anda.

HARGA: Bermula dari RM306

ALAMAT: Avillion Port Dickson, 3rd Miles, Jalan Pantai, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan

NO TEL: 06-647 6688

 

6. MABUL WATER BUNGALOWS

Terletak di Pulau Mabul, resort terapung ini menjanjikan privasi dan kemewahan kepada para tetamunya.

Dengan lebih daripada 16 banglo kayu yang dibina di atas air, tidur malam anda bertambah dingin dan mendamaikan kerana dibelai angin laut yang sepoi-sepoi bahasa.

Jika anda mencari sesuatu untuk dilakukan di sekitar resort, jangan risau kerana mereka mempunyai begitu banyak aktiviti untuk ditawarkan seperti berkayak di laut dan selam skuba di salah satu lokasi diving terbaik di dunia!

Menariknya resort ini turut memliki sebuah spa terbaik iaitu Ka'andaman Spa - di mana anda boleh memanjakan diri dengan urutan tradisional di bawah redupnya sinaran mentari dan hembusan angin laut.

HARGA: Bermula dari RM2800 (2 Hari 1 Malam)

ALAMAT: Lot A-1-G, Block A, Signature Office, KK Times Square, Off Coastal Highway, Kota Kinabalu, Sabah

NO TEL: 08-8230 006

 

7. SIPADAN KAPALAI DIVE RESORT

Dibina di atas tiang-tiang pasir di terumbu Ligitan, perkampung air mewah ini sangat popular untuk percutian bulan madu dan lokasi perkahwinan, disebabkan suasananya yang cantik ibarat syurga dunia.

Menghadap Laut Celebes, setiap chalet kayu dilengkapi balkoni peribadi. 

Dikenali sebagai salah satu tapak menyelam terbaik di Sabah, Sipadan Kapalai adalah syurga bagi golongan penyelam dari serata dunia.

HARGA: Bermula dari RM2,160 (dengan penginapan minimum 2 malam termasuk makanan)

ALAMAT: Semporna, Sabah

NO TEL: 012-619 3945

 

8. BERJAYA RESORT LANGKAWI

Jika anda seorang peminat air laut dan pantai berpasir putih, Berjaya Resort adalah tempat terbaik untuk anda.

Chalet bergaya Malaysia dikelilingi hutan hujan tropika memberikan anda suasana hijau dan mendamaikan fikiran.

Selepas puas meneroka keindahan resort, anda juga boleh menaiki kerata kabel untuk ke Sky Bridge yang menjadi tarikan pelancongan jika ke Langkawi.

HARGA: Bermula dari RM629 

ALAMAT: Karung Berkunci 200, Burau Bay, 07000 Langkawi, Kedah

NO TEL: 04-959 1888

 

9. POM POM ISLAND RESORT

Dikelilingi oleh pantai berpasir putih dan perairan biru Laut Celebes, Pom Pom Island Resort adalah sebuah resort yang menempatkan pelbagai jenis vila, antaranya vila air dan vila taman.

Setiap vila dilengkapi dengan balkoni sendiri.

Selain suasana romantis di villa, anda juga bebas untuk terjun bebas ke dalam laut yang jernih airnya.

Selain menghabiskan masa berenang dan menyelam di sekitar pulau, terdapat aktiviti lain yang boleh anda lakukan, seperti berkayak, bermain bola sepak pantai atau berbasikal.

HARGA: Bermula dari RM2,000 untuk vila air (vila bukan air bermula dari RM1,600) 

ALAMAT: Jalan Causeway, Semporna, 91307 Pulau Sipadan, Sabah

NO TEL: 089-781 918

 

10. DRAGON INN FLOATING RESORT, SEMPORNA

Ini satu lagi resort terapung yang cantik di Negeri Bawah Bayu iaitu Dragon Inn Floating Resort atau lebih dikenali sebagai Semporna Floating.

Oleh kerana lokasinya yang strategik dengan pusat bandar, resort ini juga sering menjadi pilihan popular di kalangan pelancong yang datang ke Semporna.

Reka bentuk resort ini diilhamkan oleh kampung air tradisional kaum Bajau, kerana Semporna merupakan perkampungan bagi kumpulan etnik Bajau.

Malah jika berkunjung ke sini, anda juga berpeluang untuk beramah mesra dan mengenali adat serta budaya penduduk setempat.

HARGA: Bermula dari RM216

ALAMAT: 1, Jalan Kastam, Taman Bandar Semporna, 91308 Semporna, Sabah

NO TEL: 089-781 077

 

11. PANGKOR LAUT RESORT, PERAK

Pangkor Laut Resort cukup terkenal di mata dunia dan pernah dinobatkan sebagai "One of The Top Resort In Asia" oleh Conde Nest Travellers Readers Choice Awards pada tahun 2017!

Di PLR, terdapat bilik jenis Garden Villa, Hilla Villa, Beach Villa, Sea Villa, Spa Villa, Suria and Purnama Suite dan Pavarotti Suite

Bilik di resort ini sangat luas dan mempunyai ciri-ciri tradisional yang tampak eksklusif.

Paling penting, landskap di kawasan luar bilik sangat cantik dan menenangkan kerana dikelilingi pokok-pokok hijau dan dihiburkan dengan kicauan burung serta bunyian cengkerik. 

Jika menginap di sini, jangan lupa untuk memanjakan diri anda di spa dengan rawatan muka dan urutan badan, sebelum mula menjamu selera di 4 buah restorannya yang sangat menarik.

HARGA: Bermula dari RM1,780 untuk Sea Vila (vila lain bermula dari RM1,090)

ALAMAT: Pulau Pangkor Laut Pangkor Laut, 32200 Lumut, Negeri Perak

NO TEL: 05-699 1100

Destination: