Wow Uniknya! 4 Pantai Di Dunia Ini Punya Pasir Berwarna Hijau

TRAVEL
March 02, 2020 - 04:10 PM


Siapa yang tak suka kalau dapat bercuti ke pantai atau pulau yang sangat indah serta memberikan ketenangan jiwa?

Mana taknya, dengan pakej pemandangan air laut berwarna jernih kebiruan, pasir halus yang memutih dan tumbuhan hijau meliar pastinya sesiapa pun bakal merasakan suasana kedamaian jika menghabiskan masa mereka di pulau.

Tapi kalau korang nakkan pengalaman yang lebih unik dan menarik, korang kena pergi ke 4 buah pantai ini kerana mereka memiliki sesuatu yang luar biasa di mana pantai pasirnya bukan berwarna putih, coklat, kuning atau pink seperti kebiasaannya -- sebaliknya berwarna hijau!

'Rare', kan? Nak tahu pantai mana yang ada pasir hijau seperti itu. Jom tengok senarai di bawah!

1. PANTAI PAPAKOLEA, HAWAII

Kalau korang melancong ke Hawaii, Amerika Syarikat, jangan lupa untuk singgah ke Pantai Papakolea ini yang juga dikenali dengan nama Pantai Berpasir Hijau atau Pantai Mahana.

Pantai ini terletak dekat South Point atau hujung selatan Amerika di daerah Ka’u, Hawaii.

Menjejakkan kaki ke pantai ini, korang mesti rasa teruja kerana disambut dengan hamparan pasir berwarna hijau gelap seperti buah zaitun.

Dari jauh, Pantai Papakolea kelihatan seolah-olah ia dilindungi oleh sejumlah besar lumut melawan tebing kelabu.

Menurut cerita orang-orang lama, pantai itu terbentuk sedemikian disebabkan letusan gunung berapi terbesar di dunia, Mauna Loa.

Ketika gunung ini meletus pada beribu-ribu tahun lalu, ia memuntahkan lahar yang kaya dengan mineral silika terdiri daripada besi dan magnesium.

Butiran kristal olivine dan material lain letusan gunung ini turut menutupi pulau hingga ke pantai ini.

Apabila laharnya mulai men­dingin ia membentuk butiran kristal olivine yang berwarna hijau, sekali gus memberikan nama pantai itu.

Daya tarikan pasir kristal pantai ini memperlihatkan bahawa kombinasi warna biru dan hijau itu sangat cantik serta indah untuk dipandang.

Sehingga ke hari ini, daya tarikan utama pantai ini tentu saja kerana pasir kristal berwarna hijau.

 

2. PANTAI TALOFOFO, GUAM

Jika korang bercuti di Guam, Kepulauan Pasifik, korang kena cari Pantai Talofofo.

Ini kerana jika kena dengan cuaca cerah dan matahari yang memancar indah, korang akan dapat menyaksikan pasir di pantai tersebut bertukar daripada warna gelap dan berlumpur menjadi warna hijau berkilauan.

Pantai Talofofo juga dianggap sebagai salah satu tempat terbaik untuk aktiviti surfing oleh pelancong dari seluruh dunia.

 

3. PUNTA CORMORANT, ECUADOR

Punta Cormorant yang terletak di Kepulauan Galápagos, Ecuador ini terbentuk daripada gunung berapi.

Hasil daripada lahar yang memendap selama bertahun-tahun dan bercampur dengan air pantai, akhirnya menghasilkan batuan dan pasir pantai seakan berwarna kristal olive atau kehijauan.

Selain terkenal sebagai pantai hijau yang mampu memukau pengunjung yang datang ke sini, Punta Cormorant juga popular dengan kehadiran ikan pari dan penyu yang mendarat di pantainya.

 

4. HORNINDALSVATNET, NORWAY

Dengan ukuran kedalaman 1,686 kaki, Hornindalsvatnet telah menjadi tasik terdalam di Eropah.

Dikelilingi oleh gunung dan glasier, Hornindalsvatnet atau lebih dikenali sebagai Tasik Hornindalsvatn pernah menjadi tasik yang beku semasa zaman ais yang terakhir.

Namun hari ini, di tepian tasik berkenaan mempunyai pasir hijau yang cantik hasil daripada endapan mineral oleh gerakan glasier ribuan tahun dahulu.

Jika bercuti ke sini, korang tak perlu mengenakan krim pelindung matahari kerana cuacanya yang dingin dan sangat sesuai untuk aktiviti seperti memancing serta berenang.

 


 

 

 

 

 


 

Destination: