Thailand Batal Pesta Air Songkran 2020 Akibat COVID-19

TERKINI
March 09, 2020 - 10:54 AM


Setiap tahun, ibu negara Thailand iaitu Bangkok serta beberapa lokasi popular lain pasti menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia untuk merasai kemeriahan sambutan pesta air atau dipanggil Festival Songkran.

Namun, tahun ini semua perayaan rasmi Songkran di destinasi favorit pantai Patong, Phuket telah dibatalkan untuk mencegah serta mengurangkan risiko penyebaran wabak COVID-19.

Pembatalan Songkran itu telah disahkan sendiri oleh Datuk Bandar Patong, Chalermluck Kebsup kepada The Phuket News semalam.

"Pada tahun ini, Patong tidak akan mengadakan sebarang acara perayaan rasmi Songkran. Kami mengadakan perbincangan dan menyimpulkan bahawa kami tidak akan mengadakan acara rasmi sama sekali kerana kami ingin mengelakkan semua risiko penyebaran COVID-19, yang menjadi lebih besar dengan ramai orang. Kami akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi".

Secara tradisinya, pesta Songkran akan diadakan pada 11 April hingga 15 April dengan pelbagai acara dan persembahan hiburan secara live di pantai Patong yang menjadi kegemaran pelancong antarabangsa.

 

Antara acara rasmi yang dibatalkan ialah pertandingan binaan pasir, pertandingan Ratu Cantik Miss Songkran, pertunjukan tarian tradisional Thai, persembahan muzik secara langsung oleh bintang Thailand serta pesta muzik tarian elektronik di pantai.

Meskipun begitu, Datuk Bandar memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk melarang orang ramai jika mereka ingin menikmati permainan air di sepanjang Bangla Road namun dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan menjaga kebersihan memandangkan penularan COVID-19 yang masih belum reda.

Sumber:  The Phuket News

Destination: