Bercuti Ke Pulau Redang Lebih Mudah Dengan Penerbangan Terus Dari Airport Subang

TRAVEL
March 10, 2020 - 03:47 PM


Jika sebut tentang percutian ke Pulau Redang, pastinya kita tahu yang perjalanan akan bermula dengan menggunakan kenderaan darat, sama ada pandu kereta sendiri atau menaiki bas sehingga ke jeti.

Kini, percutian ke Pulau Redang semakin mudah dengan adanya penerbangan terus dari Lapangan Terbang Subang ke Pulau Redang.

Dikendalikan oleh Berjaya Air dan menggunakan pesawat ringan jenis ART 43-500, penerbangan ini akan membawa pengunjung dan tetamu dari Subang, terus ke Lapangan Terbang Pulau Redang. Lebih tepat, menuju ke Taaras Beach & Spa Resort.

Namun, penerbangan ini termasuk pakej lengkap penginapan di The Taaras (hotel milik Berjaya Hotels & Resort) dengan harga bermula dari RM2,388 seorang untuk penerbangan pergi dan balik, set makan buffet pagi dan malam untuk setiap hari penginapan, perkhidmatan shuttle dari Lapangan Terbang Redang ke Resort.

Selain itu, pelanggan akan diberikan akses ke ruang menunggu di Naza Sky Lounge, 15 kg bagasi berdaftar + 7kg bagasi kabin, laluan ekspress menaiki pesawat serta hidangan ringan dalam perjalanan ke Redang.

Buat masa sekarang ini, mereka ada tawaran 10% bagi tempoh pengenalan dan ada 3 pakej yang disediakan iaitu pilihan penerbangan bersama penginapan untuk 2 malam, 3 malam dan juga 4 malam.

Harga, bermula RM2388 dan penerbangan dijangka mengambil masa sekitar 1 jam 10 minit.