Mulai Esok, Indonesia Tutup Pintu Keluar Masuknya Selama Sebulan

TERKINI
March 20, 2020 - 01:11 PM


Selepas merekodkan 25 kes kematian akibat penularan COVID-19 --- akhirnya Indonesia membuat keputusan untuk menutup kemasukan pelawat asing ke negara itu dan menghalang rakyatnya keluar negara untuk tempoh sebulan berkuat kuasa esok (21 Mac 2020).

Menteri Luarnya, Retno Marsudi, dalam kenyataan hari ini, berkata Visa Bebas Kunjungan (BVK), Visa Ketibaan (VOA) dan Visa Bebas Diplomatik/Perkhidmatan untuk warga asing ditangguhkan selama sebulan.

Susulan langkah tambahan tersebut, beliau berkata pelawat warga asing yang akan berkunjung ke Indonesia diwajibkan mempunyai visa dari perwakilan Indonesia di negara masing-masing dengan menyatakan maksud dan tujuan lawatan tersebut.

Selain itu, katanya semasa memohon visa, mereka perlu melampirkan sijil kesihatan oleh pihak berkuasa kesihatan di negara masing-masing.

Peraturan terbaharu itu akan dikaji semula dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian dan perkembangan terkini.

Untuk rekod, sehingga semalam, Indonesia mencatatkan kes positif COVID-19 kepada 309.

Berdasarkan pecahan kes kematian, Jakarta mencatatkan 17 kes kematian, Jawa Tengah (3), Bali (1), Banten (1), Jawa Barat (1), Jawa Timur (1) dan Sumatera Utara (1).

Sumber: Bernama

 

Destination: