Tips Untuk Tingkatkan Kualiti Udara Dalam Rumah Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan
GAYA HIDUPSehingga hari ini, beberapa buah negara seluruh dunia telah melaksanakan kuarantin berskala besar dengan masing – masing mempunyai peraturan sekatan sendiri dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 yang diumumkan sebagai pandemik oleh WHO ini.
Disebabkan ia ‘melumpuhkan’ hampir satu dunia, banyak negara telah melakukan sekatan perjalanan secara menyeluruh atau disebut sebagai ‘lockdown’ dan ini secara tidak langsung memaksa orang ramai untuk menghabiskan masa di rumah sambil bekerja dan sebagainya.
Negara kita juga merupakan salah sebuah negara yang melakukan tidakan yang sama dengan mewartakan Perintah Kawalan Pergerakan yang mana akan berlangsung sehingga 14 April 2020 dan ini bermakna, ada kurang lebih 19 hari lagi untuk kita duduk di rumah dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan.
Tidak dapat dinafikan, berada ‘terperap’ di rumah selama 24 jam setiap hari bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan namun ianya tidak mustahil.
Dalam tempoh ini, pastinya untuk mereka yang bekerja dari rumah sudah mula membiasakan diri melaksanakan tanggungjawab harian sambil menguruskan rumah atau keluarga dalam masa yang sama.
Namun, ada satu perkongsian yang mungkin ramai terlepas pandang iaitu; kualiti udara di dalam rumah atau ‘pencemaran’ udara di rumah yang kita sendiri mungkin tidak perasan.
Menurut anggaran rasmi dari pemerhati kualiti udara Perancis, udara di dalam rumah sesetengah dari kita berkemungkinan 5 kali lebih tercemar dari udara diluar. Jangan kecam dulu; baca penjelasan selanjutnya.
Menurut mereka, produk pencuci, asap tembakau (dari rokok dan produk berkaitan), sebatian organic yang terhasil dari proses memasak , kelembapan udara, habuk dan lain – lain ini dikategorikan sebagai pencemaran udara yang berlaku di dalam rumah. Disini, ingin kami ingatkan, pencemaran udara ini bukanlah hanya asap, ia boleh datang dari pelbagai lagi sumber seperti yang dinyatakan tadi.
Jika diperhatikan, kualiti udara di dalam rumah kita berkait rapat dengan kitaran udara segar dari luar rumah dan udara yang dihasilkan dari dalam rumah. Jadi, ada beberapa tips yang boleh digunakan bagi meningkatkan kualiti udara dalam rumah ini, antaranya;
#1. ‘Tukar’ Udara Baru Beberapa Kali Sehari
Perkara ini adalah yang paling asas, mudah dan juga yang paling penting iaitu ‘menukar’ udara yang ada di dalam rumah beberapa kali sehari terutamanya di waktu pagi, malam sebelum tidur, selepas memasak atau mencuci rumah.
Bukan semua rumah mempunyai sistem pengudaraan yang boleh mengganti udara di rumah secara automatic dan ada juga yang sudah lama tidak melakukan penyenggaraan terhadap sistem ventilation yang ada di rumah, dan ini membuatkan udara di rumah tidak bersih sepenuhnya.
Buka tingkap atau pintu setiap pagi bagi membenarkan udara ‘baru’ masuk ke rumah setiap hari dan ini juga akan mengurangkan bau di dalam rumah selain mengurangkan kelembapan dalam rumah.
#2. Jangan Merokok Di Dalam Rumah
Situasi ini sering berlaku di ‘rumah bujang’ atau ada sesetengah rumah yang tidak kisah untuk merokok di bahagian dalam rumah. Namun, perlu diingatkan, asap dari rokok atau produk tembakau ini akan melekat dan meninggalkan kesan pada dinding, langsir, lantai dan juga siling rumah.
Menyedut udara yang terperangkap di dalam rumah yang tercemar akibat asap tembakau ini sebenarnya meningkatkan risiko penyakit yang berkaitan dengan pernafasan.
Jadi, mulai hari ini, merokoklah di luar rumah. Lebih bagus, berhentilah.
#3. Jangan Mengunakan Produk Pembersihan Secara Berlebihan
Walaupun ianya selamat digunakan, penggunaan produk pembersihan seperti sabun lantai, cecair membersihkan cermin dan sebagainya tetap mempunyai kesan terhadap kesihatan dan kualiti udara di rumah jika digunakan secara berlebihan.
Menurut kajian sebuah majalah di Perancis pada April 2019, lebih 60 juta pengguna mendapati adanya bahan mengandungi toksik dan bahan tercemar dalam jenama-jenama terkemuka.
Dalam erti kata lain, gunakan produk pembersih yang ada di pasaran secara berpatutan dan jangan gunakan secara berlebihan hanya kerana ingikan kesan yang cepat. Pilihan lain, mungkin boleh gunakan bahan tradisional untuk membersihkan rumah seperti cuka yang boleh digunakan untuk membersihkan cermin atau permukaan yang berkilat.