Myanmar 'Lockdown' Mulai Esok, Festival Thingyan Juga Batal
TERKINIBermula esok (10 April), Myanmar akan mula melaksanakan perintah darurat atau lockdown sehingga 19 April ini.
Keputusan tersebut diambil bagi mengekang penularan wabak COVID-19 daripada merebak teruk memandangkan pada tarikh tersebut juga biasanya berlangsung acara Festival Thingyan yang dikenali sebagai Tahun Baru Myanmar.
Selalunya Festival Thingyan diraikan selama 4 hari bermula 13 sehingga 16 April setiap tahun.
Festival berkenaan biasanya disambut dengan tradisi masyarakat Myanmar saling menyiram air sesama air di jalanan dan tempat-tempat umum sebagai menzahirkan kegembiraan mereka menyambut tahun baharu.
Bagaimanapun dengan situasi semasa COVID-19, festival beramai-beramai itu sangat berisiko untuk dilakukan dan perintah lockdown terpaksa dikuatkuasakan bagi mengelak penyebaran virus yang lebih buruk.
Sebelum menguatkuasakan lockdown, Myanmar juga telah melakukan beberapa langkah pencegahan seperti menutup sekolah sehingga hujung April, tempat tumpuan umum dihadkan waktu operasinya serta semua penerbangan komersial antarabangsa dari dan menuju ke Myanmar disekat sehingga 14 April ini.
Selain itu, pada 2 April lalu, tiga kelompok etnik bersenjata di Myanmar juga sepakat untuk melakukan gencatan senjata selama sebulan dan ia melibatkan Ta'ang National Liberation Army (TNLA), Myanmar Democratic Alliance Army serta Arakan Army (AA).
Myanmar melaporkan 2 kes jangkitan pertama koronavirus pada 23 Mac lepas apabila 2 warganegaranya masing-masing baru pulang dari Amerika Syarikat dan Eropah.
Sehingga kini, Myanmar merekodkan sebanyak 22 kes COVID-19 dengan 3 kematian.
Sumber: Tempo.co