COVID-19: Festival Bon Odori Di Pulau Pinang, 25 Julai Ini Dibatalkan!
TERKINIFestival Bon Odori yang dijadualkan berlangsung pada 25 Julai 2020 di Pulau Pinang terpaksa DIBATALKAN bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.
Keputusan itu diumumkan Kerajaan Pulau Pinang menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin bersama Konsulat Jeneral Jepun di Pulai Pinang dalam satu kenyataan, hari ini.
“Kita perlu membatalkan festival yang amat dinantikan itu, kerana kesihatan dan keselamatan para peserta, pelawat dan artis serta pihak pengurusan adalah menjadi keutamaan. Kami percaya kita perlu mengambil langkah tertentu bagi menjaga keselamatan orang ramai.
"Kami memohon maaf terhadap sebarang kesulitan yang timbul dan meminta orang ramai supaya faham dengan keputusan kami yang sukar ini. Kesihatan dan keselamatan orang ramai menjadi keutamaan,” menurut kenyataan tersebut.
Festival Bon Odori disambut secara tradisi oleh rakyat Jepun setiap tahun bagi memperingati semangat kegemilangan nenek moyang sejak berzaman.
Di Malaysia, festival berkenaan turut disambut di Pulau Pinang dan Selangor.
Sumber: Bernama