Orang Lain 'Stay At Home', Tapi 4 Beranak Ini Pilih Terbang Ke Bali Untuk Asingkan Diri

TERKINI
April 21, 2020 - 04:25 PM


Jika di Malaysia sewaktu Kerajaan mula-mula mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang panik dan berpusu-pusu ingin pulang ke kampung halaman masing-masing.

Namun di luar negara, lain pula ceritanya dengan pasangan dari London, England ini yang memilih untuk melakukan perintah berkurung di Bali, Indonesia bersama dua anak lelaki kembar mereka.

Corrine dan Dave Pruden mengambil keputusan menaiki penerbangan terakhir dari London ke Denpasar bagi melindungi keluarga mereka daripada virus COVID-19 yang semakin meningkat secara mendadak di England yang sehingga kini telah mencecah 124,743 kes dengan 16,509 kematian (sehingga 21 April).

Pasangan itu mengambil penerbangan dari London ke Denpasar pada 16 Mac lalu iaitu seminggu sebelum England memperketatkan perintah berkurung.

Keluarga kecil itu kini tinggal di sebuah rumah yang disewa menerusi Airbnb di Ubud.

Kediaman tersebut terletak di tengah sawah dengan kolam renang, namun jauh daripada orang ramai.

Mereka juga turut memesan makanan daripada restoran berdekatan yang dihantar terus ke kediaman mereka.

Menerusi perkongsian foto di Twitter, keluarga tersebut kelihatan begitu gembira dan bahagia menikmati perintah berkurung, selain anak-anak mereka bebas berlari di kawasan rumah.

Corinne ketika dihubungi Sky News memberitahu, dia dan suami pada awalnya berasa agak bimbang dengan keputusan dibuat memandangkan orang lain berpusu-pusu pulang ke negara masing-masing.

"Bagaimanapun dalam rasa bimbang itu, kami sebenarnya berasa sangat tenang," katanya yang sudah menetap di Budapest selama lima tahun dan memiliki sebuah kedai kopi.

Katanya, dia berasa tenang kerana tidak berada di London dalam situasi genting ketika ini yang pada hematnya lebih bahaya berada di sana berbanding Bali.

Sementara itu, Corinne memberitahu dia sekeluarga pulang ke London sebelum ini kerana ingin menziarahi ibunya sebelum merancang untuk bercuti ke Amerika Syarikat.

Namun katanya, penularan Covid-19 secara mendadak di Eropah dan Amerika membuatkan mereka mengubah perancangan sebelum memilih untuk ke Bali bagi mengasingkan diri.

"Kami boleh sahaja terus tinggal di London atau pulang ke Budapest tetapi ada sesuatu mengatakan kami perlu pergi ke tempat yang tenang dan baik untuk anak-anak kami," ujarnya.

Masih belum berfikir bila mereka sekeluarga akan pulang ke tempat asal, Corinne memberitahu mereka kini ingin menikmati keindahan Bali sebelum merancang perjalanan seterusnya.

Sumber: Mstar

Destination: