Esok Nak Mula Berpuasa, Ingat Lagi Tak Lafaz Niat Puasa & Doa Berbuka? Jom Baca Sini!

TERKINI
April 23, 2020 - 03:26 AM


Hari ini (Khamis), kita bakal melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan tarikh berpuasa di Malaysia yang dijangka pada hari Jumaat (24 April 2020).

Ramai pastinya berasa sayu dengan ketibaan bulan mulia tahun ini kerana kita bakal menyambutnya dalam suasana yang sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya dek kerana penularan pandemik COVID-19 yang telah mengancam seluruh dunia.

Kemeriahan berpuasa kali ini mungkin terasa hambar tanpa peluang bersahur dan berbuka bersama-sama keluarga di kampung pada 1 Ramadan, tiada bazar Ramadan pada setiap petang serta solat Tarawih berjemaah di masjid dan surau juga dibatalkan. 

Namun itu bukanlah alasan atau penghalang untuk kita sebagai umat Islam daripada menunaikan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan yang hukumnya wajib dilaksanakan.

Tuntutan menunaikan ibadah puasa telah termaktub dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 183 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”. 

Sudahkah anda menyiapkan persiapan secukupnya untuk bulan Ramadan yang akan datang? 

Masihkah anda ingat info penting tentang bulan Ramadan?

Jom kita imbas kembali beberapa panduan berguna untuk menghadapi bulan Ramadan yang bakal menjelang.

1. NIAT PUASA

Lafaz niat untuk berpuasa boleh dilakukan samaada setiap hari ataupun niat hanya sekali untuk berpuasa selama sebulan.

  • Niat puasa untuk setiap hari

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-‘i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’ala

Maksudnya : Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala

  • Niat puasa untuk sebulan

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala

Maksudnya: Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala

 

2. DOA BERBUKA PUASA

Berdoa ketika hendak berbuka puasa sangatlah penting. Doa ini menunjukkan kesyukuran kita kepada ALLAH SWT kerana kita telah berjaya menunaikan puasa pada hari tersebut.

Jadi, mari belajar doa berbuka puasa.

اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك ياأرحم الراحمين

Allahumma laka shumtu wa bika amantu wa‘alaa rizqika afthartu birahmatika yaa arhamarroohimiin

Maksudnya: Ya Allah, bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau aku beriman, dengan rezeki Engkau aku berbuka, dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang

Di bulan yang mulia ini, mari kita perbanyakkan ibadat solat, mengaji Al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT supaya diterima segala amal kita di sisiNya serta diselamatkan kita semua daripada wabak COVID-19 dengan secepatnya.

Mudah-mudahan setiap amalan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan nanti akan diterima oleh Allah SWT. Aamiin.

 

Destination: