Hari Raya Pertama Sahaja Dibenarkan Ziarah Sesama Keluarga

TERKINI
May 13, 2020 - 04:59 PM


Hanya hari pertama sahaja dibenarkan untuk keluarga terdekat saling kunjung-mengunjungi ketika Hari Raya Aidilfitri, Pesta Keamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi.

Manakala sambutan bagi hari raya kedua, ketiga dan seterusnya adalah TIDAK DIBENARKAN sama sekali untuk berziarah. Malah penganjuran rumah terbuka juga adalah dilarang! 

Bagaimanapun, Kerajaan memutuskan untuk menghadkan aktiviti ziarah pada hari raya pertama nanti hanya kepada ahli keluarga terdekat sahaja dan tidak boleh melebihi 20 orang pada satu hari.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah maksimum 20 orang sehari ini juga perlu mengambil kira saiz kediaman masing-masing bagi memastikan prosedur operasi jarak sosial dapat diamalkan.

"Katakan rumah flat 600 kaki persegi, 20 orang dalam satu (masa) terlalu ramai dan sukar ada jarak sosial. Jadi mungkin jumlah individu itu perlu dikecilkan. 

“Prosedur operasi standard berkaitan amalan penjagaan kesihatan perlu diikuti sewaktu berkunjung seperti pemakaian pelitup separuh muka, cecair pembasmi kuman dan basuh tangan dengan sabun sewaktu menziarah,” kata beliau pada sidang media harian mengenai PKPB.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak sekali-kali mengunjungi ahli keluarga dalam kalangan warga emas kerana golongan itu terlalu mudah dijangkit virus Covid-19.

Bagi yang rumah kecil, katanya, tuan rumah boleh membenarkan lima ahli keluarga berkunjung dan selebihnya boleh datang secara bergilir-gilir pada satu masa.

Amalan ini perlu diamalkan dan diterapkan oleh rakyat Malaysia kerana kerajaan tidak mahu apa yang berlaku di negara lain sebelum ini terjadi di negara kita sendiri.

Sumber: Bernama

Destination: