Pulau Pinang Guna Konsep "Travel Bubble" Mulakan Pelancongan Lepas PKP

GAYA HIDUP
May 21, 2020 - 11:54 AM


Sebaik sahaja Kerajaan Persekutuan menarik semula larangan perjalanan rentas negeri, Pulau Pinang bakal melaksanakan pendekatan yang dipanggil "travel bubble" -- di mana Pulau Mutiara itu akan memulakan semula perjalanan dan jalinan industri pelancongan dengan negeri-negeri yang diisytiharkan sebagai zon hijau.

Konsep travel bubble yang turut disesuaikan dengan normal baharu itu turut dicadangkan di Australia dan New Zealand bagi membantu semula pemulihan sektor pelancongan selepas terkesan teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata konsep itu adalah langkah yang dikaji dalam usaha untuk merencanakannya sebaik sahaja kerajaan Persekutuan membenarkan orang ramai untuk membuat perjalanan merentas negeri.

 

“Memandangkan Pulau Pinang sedang mengamalkan Strategi Pemulihan Berperingkat, ini mungkin menjadi penyelesaian berdaya maju untuk memulakannya, berbanding membuka semua sempadan kami secara serentak dan membangkitkan risiko penularan semula,” katanya. 

 

Beliau berkata pendekatan secara beransur-ansur dan berperingkat akan membolehkan zon perjalanan selamat antara zon hijau dan membuka semula ekonomi untuk sektor pelancongan.

Sebaliknya, Yeoh berkata tahap awal konsep travel bubble hanya boleh dihadkan dalam kawasan tarikan pelancongan di Pulau Pinang sebelum berkembang ke negeri lain.

“Kami akan memulakan ekonomi pelancongan secara beransur-ansur, tetapi melalui pemantauan berterusan kemajuannya sebelum kami teruskan kerana ia adalah keutamaan negeri ini untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai zon hijau sebelum membuka sempadan pelancongannya kepada orang luar,” katanya dan menambah pendekatan yang dicadangkan akan dibangkitkan semasa mesyuarat pasukan kerja pelancongan akan datang. 

Sumber: Bernama

Destination: