Tiada Lagi Penggunaan 'Boarding Pass', KLIA Bakal Guna Teknologi Pengecaman Wajah!
TERKINILapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dilengkapi teknologi pengecaman wajah tidak lama lagi.
Ini berikutan usaha Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang akan melancarkan inisiatif token perjalanan tunggal (single token journey) yang memanfaatkan teknologi pengecaman wajah membabitkan pengesahan biometrik penumpang.
Proses pengesahan teknologi tersebut dijangka akan memakan masa hanya sekitar 5 saat untuk setiap penumpang.
Menurut MAHB, fasa pertama penggunaan teknologi tersebut dijangka akan selesai pada separuh pertama 2021 -- di mana 50 kiosk daftar masuk sendiri, 20 kaunter daftar masuk dan 56 pintu masuk di pusat pemeriksaan keselamatan serta pintu masuk di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh memberitahu, inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan sentuhan fizikal ketika membuat perjalanan selain melengkapi kemudahan penerbangan di lapangan terbang itu.
“Itu adalah beberapa projek kritikal yang telah kami laksanakan walaupun terdapat cabaran susulan wabak Covid-19 yang menyerang dunia.
“Selain meningkatkan tahap perkhidmatan kami dan menjimatkan masa pemprosesan di lapangan terbang, ia juga mampu meningkatkan keselamatan penumpang dengan memberi pengalaman tanpa sentuhan yang bersesuaian dengan norma baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Teknologi yang mampu mengurangkan kes penggunaan identiti palsu itu juga akan disatukan dalam aplikasi MYairports -- di mana penumpang boleh mendaftar pengesahan wajah sebelum tiba di lapangan terbang.
Malah, integrasi dengan sistem imigresen akan membenarkan orang asing memanfaatkan pagar automatik jabatan itu dan tidak lagi perlu beratur di kaunter.
Di masa hadapan, MAHB dijangka akan melaksanakan perkara yang sama untuk pembelian runcit serta akses ke ruang rehat syarikat penerbangan.
Matlamat MAHB adalah untuk menjadikan lapangan terbang siap dan lengkap untuk masa hadapan, terutamanya ketika sektor pelancongan kembali pulih.
Usaha itu membuktikan pihak MAHB ingin mengembalikan serta meningkatkan keyakinan penumpang perjalanan udara dan berharap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan syarikat penerbangan yang lain untuk menyesuaikan diri dengan teknologi itu.
Sumber: UTUSAN MALAYSIA