Cuaca Panas Melanda Negara Sehingga Pertengahan April Depan
TERKINIJika sebelum ini, negara kita dijangka mengalami musim panas sehingga pertengahan bulan Mac ini -- namun hari ini cuaca panas tersebut dilaporkan bakal berlarutan hingga pertengahan April depan pula!
Ia susulan taburan hujan yang berkurangan ketika ini dijangka berakhir, ekoran musim peralihan monsun yang bermula pertengahan bulan ini.
Artikel Terdahulu: Malaysia Alami Musim Panas Sehingga Pertengahan Mac 2021
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata, pada waktu ini Malaysia menerima angin yang melalui kawasan kering di IndoChina.
Katanya, negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia akan mengalami keadaan lebih kering dan tempoh tanpa hujan yang lebih lama.
"Pada masa sama, dari segi klimatologinya di sebelah utara atau pun barat Thailand berlaku tekanan tinggi yang menyebabkan tiada awan dan sebagainya.
"Sebelum ini, negara kita mencapai suhu sehingga 39 darjah Celcius dan dalam keadaan El Nino yang kuat, kita boleh mencapai 40 darjah Celcius.
"Tetapi tahun ini kita menjangkakan suhu tidak begitu panas, sebab tahun ini adalah tahun La Nina dan kita jangka dalam 37 darjah Celcius lebih terutama di utara semenanjung," katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar mengelakkan pembakaran terbuka -- termasuk perkara yang menjadi punca kebakaran seperti membuang puntung rokok ketika cuaca panas dan agak kering ini.
"Sebenarnya kita bernasib baik ada La Nina yang sederhana berbanding tahun lepas. Kalau kita tengok bulan Februari, sebenarnya tahun ini cuma 36.8 darjah Celcius berbanding 38.4 darjah Celcius tahun lepas.
"Kita juga menasihatkan orang ramai agar menjimatkan penggunaan air, mengelakkan daripada mencemarkan sumber air dan mengelakkan aktiviti-aktiviti di luar yang terdedah kepada panas semasa keadaan panas ini.
"Pastikan sentiasa membawa bekalan air dan banyak minum air jika terpaksa melakukan aktiviti di tempat panas bagi mengelakkan strok haba," katanya.
Sumber: Harian Metro