Wow! Warga Kerja Pelancongan Turki Dapat Program Vaksinasi Khas

TERKINI
April 07, 2021 - 04:41 PM


Sudah tentu korang dah selalu dengar tentang program vaksinasi khas yang mengutamakan OKU, warga emas, dan para barisan hadapan, tetapi Turki kini mengumumkan pelancaran Program Pensijilan Pelancongan Selamat yang dikhaskan untuk warga kerja pelancongan negara itu bagi menjaga keselamatan kedua-dua pihak iaitu pekerja pelancongan, juga pelawat tempatan dan asing. 

Memandangkan banyak negara kini telah merancang gelembung pelancongan serta sijil vaksinasi yang memberi sinar kepada pelancongan antarabangsa, inisiatif tersebut diambil Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Turki (TGA) bagi mengalu-alukan pelancong-pelancong antarabangsa, serta menjamin keselamatan penduduk tempatan mereka. 

Sebuah platform dalam talian telah dilancarkan bagi memudahkan pengusaha pelancongan mendaftarkan kakitangan mereka. Skop program tersebut merangkumi semua pengusaha utama dalam sektor pelancongan seperti kakitangan kemudahan penginapan, restoran, pemandu pelancong, pengangkutan dan agensi pelancongan. Wakil-wakil rasmi turut dibenarkan untuk mendaftar bagi pihak kakitangan mereka. 

Program seumpama ini adalah yang pertama di dunia dan telah meletakkan Turki sebagai salah satu destinasi paling selamat di dunia. Program tersebut turut meluaskan skop pelaksanaan di mana kesemua kemudahan yang mempunyai lebih daripada 30 bilik diwajibkan mendaftar, dan sehingga kini, lebih daripada 8000 kemudahan telah menerima sijil tersebut. 

Tapi korang jangan kecam pula! Turki masih mengutamakan mereka di barisan hadapan untuk program vaksinasi mereka, dan Program Pensijilan Pelancongan Selamat ini adalah langkah sampingan yang diambil setara dengan jangkaan mereka untuk menyaksikan lengkungan V pada sektor pelancongan negara itu.

Tunggu Malaysia bagi green light, lepas itu jom kita tempah tiket ke Turki!