Angkara Pandemik, 23 Agensi Pelancongan Di Langkawi Terpaksa 'Gulung Tikar'
TERKINILagi berita yang menyedihkan melanda industri pelancongan domestik gara-gara penularan pandemik Covid-19.
Kali ini sebanyak 23 agensi pelancongan di Pulau Langkawi menerima tempias apabila terpaksa menutup operasi dengan tidak memperbaharui lesen pengendali pelancongan mereka susulan industri tersebut semakin suram berikutan pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, tindakan kerajaan menguatkuasakan larangan rentas negeri sejak Januari lalu lalu turut mengakibatkan kehadiran pelancong merosot dan agensi pelancongan terbabit mengalami kerugian.
Malah, katanya, industri pelancongan di pulau peranginan ini lebih tenat selepas pelaksanaan PKP di lima daerah di negeri ini yang berkuasa sejak 1 Mei lalu.
“Sepanjang tempoh larangan rentas negeri berkuat kuasa, sebahagian besar pelancong di pulau ini merupakan penduduk di negeri ini sahaja.
“Namun, jumlah pelancong terus merosot selepas lima daerah di negeri ini pula dikenakan perintah PKP,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Lima daerah terlibat dengan PKP itu ialah Alor Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.
Zainudin memberitahu, setakat ini, sebanyak 113 agensi pelancongan yang masih kekal bertahan walaupun dalam keadaan tenat.
Bagaimanapun, tambahnya, beliau percaya lebih banyak agensi pelancongan itu akan menutup operasi sekiranya PKP dilanjutkan selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Keadaan lebih parah sekiranya agensi terbabit tidak mendapat sebarang bantuan kewangan pada sepanjang tempoh pandemik ini.
“Malah kesemua agensi yang telah ditutup itu didapati tidak mendapat bantuan geran bantuan khas kepada agensi pelancongan berjumlah RM3,000 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa),” katanya.
Sumber: UTUSAN MALAYSIA