Betul Ke Pelancongan Domestik Dibuka Semula Oktober Ini?

TERKINI
June 15, 2021 - 01:33 PM


Sekarang ini, negara kita sedang berada dalam fasa ke-2 'Total Lockdown' yang akan disambung sehingga 28 Jun depan.

Hasil yang dilihat daripada pelaksanaan tersebut adalah kes baharu harian didapati menunjukkan trend penurunan seperti contoh semalam (14 Jun) ia mencatatkan pada kadar 4949 kes, berbanding sebelum ini sekitar antara 5000 hingga 6000 kes sehari.

Selain memberikan sedikit kelegaan, ini juga ada berita gembira buat kita semua apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri menjangkakan industri pelancongan domestik bakal dibuka semula pada Oktober ini -- bergantung kepada perkembangan kes COVID-19.

Ketika ini pihaknya sedang berusaha untuk memastikan semua pihak yang terbabit dalam sektor pelancongan supaya diberikan diberikan vaksinasi secepat mungkin sebagai persediaan apabila industri itu dibuka semula kepada pelancong.

Sebagai langkah strategik, usaha itu akan dimulakan di dua buah lokasi pelancongan terkenal tempatan iaitu Langkawi dan Kuching.

"Kita mulakan 2 tempat ini dulu (Langkawi dan Kuching) di mana kami merancang untuk memvaksinasi (pihak dalam sektor pelancongan) terutama di Langkawi di mana tempat (pilihan) melancong, ...namun keadaan sekarang amat sedih.

"Di Langkawi, populasinya adalah 76,400 dan kita nak 30,530 daripadanya divaksin supaya adanya imuniti kelompok, sekali gus orang yakin untuk pergi ke sana dan mereka juga ada keyakinan untuk menyambut pelancong.

"Begitu juga kita ada perancangan untuk Kuching bagi tujuan vaksinasi (bagi tujuan pelancongan) di mana MOTAC dalam usaha mengangkat bandar raya itu sebagai salah satu jaringan bandar raya kreatif di peringkat ASEAN dan UNESCO di bawah kategori gastronomi," kata Datuk Seri Nancy.

Pada masa sama, Nancy berkata, MOTAC turut merancang untuk pergi ke pulau peranginan lain membabitkan program imunisasi itu supaya lebih banyak pihak yang terbabit dalam industri pelancongan dapat divaksinasikan secara besar-besaran.

Pembukaan semula pelancongan domestik disifatkan penting untuk mengimbangi semula kerugian, sekali gus meningkatkan pendapatan masyarakat tempatan dalam bidang terbabit.

"Atas sebab itu, program vaksinasi ini penting kepada barisan hadapan dalam bidang pelancongan seperti pekerja hotel, sektor penerbangan dan sub pelancongan seperti pekerja spa dan mereka terbabit dalam seni muzik," katanya.

Beliau berkata, MOTAC juga sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan pihak industri dalam membantu mereka yang terjejas termasuk memberi latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula buat mereka yang terjejas dalam industri pelancongan sepertu pemandu pelancong.

Sumber: Berita Harian

Destination: