Malaysia Akan Buka Pintu Sempadan Negara 2021 Untuk Pelancongan?

TERKINI
December 28, 2020 - 02:53 PM


Jika tahun 2020 pelancongan negara sungguh suram dek kerana penularan COVID-19, mungkin dengan tibanya tahun baru 2021 bakal memberi sinar harapan baru buat industri pelancongan Malaysia.

Ini kerana baru-baru ini, Kerajaan dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara bagi membantu merancakkan sektor pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ketika ini proses rundingan sedang giat dilakukan Malaysia bersama beberapa negara yang dikategorikan sebagai 'hijau'.

“Kini, kami di peringkat mengadakan rundingan dengan negara-negara seperti Singapura, Brunei, Korea, Jepun, Taiwan dan New Zealand yang dikenal pasti sebagai kawasan Zon Hijau,” katanya.

Tambah Datuk Seri Nancy, beliau menerima banyak permintaan daripada pemain industri pelancongan tempatan untuk mempertimbangkan perkara itu bagi memastikan perniagaan mereka terus bertahan.

“Bagaimanapun, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih lanjut bersama kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan bahawa kebenaran itu diberikan untuk membantu meningkatkan sektor pelancongan di negara ini,” katanya.

Ditanya sama ada gelembung perjalanan zon hijau membantu meningkatkan sektor pelancongan, beliau berkata: “Ya, malah bilik di hotel-hotel seperti Langkawi telah penuh ditempah. Jadi, ia merupakan inisiatif yang bagus khususnya untuk sektor pelancongan.”

Sementara itu, Datuk Seri Nancy turut menggesa pelancong dari zon hijau yang mengembara ke tempat lain supaya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya dalam mengekalkan penjarakan fizikal ketika bercuti.

“Kita tidak mahu kes COVID-19 semakin meningkat apabila kerajaan meluluskan gelembung perjalanan zon hijau kerana akhirnya ia akan memberi kesan terhadap ekonomi khususnya sektor pelancongan di negara kita,” katanya.

Sumber: BERNAMA

 

Destination: