COVID-19: Kempen Pelancongan Baharu Bakal Gantikan VM2020

TERKINI
March 25, 2020 - 01:46 PM


Seperti yang kita sedia maklum, angkara COVID-19 kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) telahpun dibatalkan pada 18 Mac lepas.

Bagaimanapun, hari ini Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) bakal memperkenalkan kempen pelancongan baharu bagi menggantikan VM2020.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kempen baharu itu bersifat jangka panjang yang akan memperkukuhkan jenama ‘Malaysia, Truly Asia’ dan mengetengahkan pengalaman unik yang terdapat di Malaysia.

"Bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan di rantau ini, MOTAC akan memperkenalkan kempen pelancongan baharu.

"MOTAC yakin usaha ini akan mengukuhkan daya saing dan kelestarian industri pelancongan negara di samping memastikan industri ini inklusif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 18 Mac lepas, Nancy mengumumkan VM2020 dibatalkan serta-merta bagi mencegah penularan COVID-19 selain impak wabak yang menjejaskan sektor pelancongan di Malaysia serta dunia.

Berikutan wabak COVID-19, kata Nancy, anggaran semasa kerugian yang dihadapi pemain industri pelancongan negara seperti sektor penginapan, pengangkutan, beli-belah, makanan dan minuman serta penganjuran acara perniagaan bagi tempoh Januari hingga Mac 2020, melebihi RM9 bilion. 

Sehubungan itu katanya, hasil perbincangan bersama pemain industri pada 17 Mac lepas, satu pelan tindakan strategik akan diperkenalkan.

"MOTAC telah melakar pelan tindakan strategik untuk membantu merancakkan kembali industri ini dan memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia yang bergantung kepada industri ini terjamin. 

"Antara pihak yang hadir adalah wakil persatuan-persatuan dari industri penginapan, pelancongan, operator bas, peniaga, pemandu pelancong dan pemandu teksi. Perbincangan itu dikendalikan oleh Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan (TRAC)," katanya.

Nancy berkata MOTAC akan berbincang dengan Kementerian Kewangan serta agensi berkaitan bagi memperhalusi semua pandangan yang dikemukakan pemain industri pelancongan terutamanya berkaitan dengan bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada industri itu.

Sumber: Bernama

Destination: