Lelaki Buat Aksi 'Ngeri' Di Menara Eiffel, Nak Tercabut Jantung Pengunjung!

TERKINI
September 20, 2021 - 02:29 PM


Ribuan pengunjung yang berada di sekitar tapak mercu tanda ikonik Paris, mendongak kepala untuk melihat sesuatu yang berlangsung pada ketinggian 70 meter.

Semua berasa teruja dan tidak dinafikan agak 'ngeri' tatkala melihat aksi Nathan Paulin berjalan perlahan di atas dawai yang direntangkan sepanjang 600 meter dari Menara Eiffel hingga ke satu stesen di seberang Sungai Seine.

Paulin, 27 tahun melangkah perlahan dengan penuh berhati-hati dari ketinggian itu, pada Sabtu lalu.

Ada masanya dia terhenti dan kelihatan terhayun sebentar lalu cuba menyeimbangkan dirinya.

Tiba di suatu titik, dia duduk di atas dawai dan menerima tepukan gemuruh khalayak yang tidak putus memberikan perhatian penuh.

Lagak yang mendebarkan itu akhirnya disudahkan apabila dia sampai ke Chaillot Theatre di penghunung rentangan dawai. Persembahan luar biasa itu mengambil masa selama setengah jam.

"Bermula dari menara Eiffel, semuanya sangat indah. Semasa melakukan persembahan itu, saya tidak merasakan apa-apa... saya tidak rasa takut pada ketinggian," katanya.

Paulin berkata, kemahiran yang ditunjukkannya pada Sabtu lalu itu memerlukan latihan selama 4 tahun, malah untuk meneruskannya memerlukan dia mengatasi fobia zaman kecilnya iaitu ketinggian.

Pada 2019, lelaki warga Perancis itu melakukan aksi yang sama tapi dari ketinggian 150 meter, dengan berjalan di atas dawai yang direntangkan sepanjang 510 meter antara dua pencakar langit di wilayah komersial La Defense, Paris.

Sumber: Astro Awani

Destination: