Taman Tamadun Islam Mula Dibuka, Ada Harga Menarik Menanti Anda!

TRAVEL
September 22, 2021 - 03:55 PM


Ikon pelancongan Terengganu, Taman Monumen yang menempatkan 23 replika masjid terkenal dunia di Taman Tamadun Islam (TTI) kembali dibuka kepada orang ramai bermula Rabu (22 September).

Sempena pembukaan rasmi tarikan pelancongan tersebut -- pengunjung berpeluang menikmati harga istimewa menerusi pakej-pakej menarik yang disediakan.

Dengan harga serendah RM15, orang ramai bukan sahaja dapat meneroka keseluruhan Taman Monumen itu, malah mencuba pengalaman menyusuri Sungai Terengganu dengan menaiki bot.

Bagi kanak-kanak dan warga emas pula, tiket yang dikenakan untuk kedua-dua perkhidmatan itu hanya RM10.

Sebelum ini, kadar dikenakan bagi setiap pakej ialah RM20 bagi dewasa manakala warga dan kanak-kanak pula ialah RM16.

“Tawaran harga istimewa ini sebagai galakan untuk menarik lebih ramai pengunjung tempatan ke Taman Monumen yang berkonsepkan pendidikan dan hiburan sekali gus mempromosikan pelancongan Terengganu,” kata Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.

Antara replika masjid yang terdapat Taman Monumen ialah Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Taj Mahal, Masjid Al-Aqsa dan Masjid Sultan.

Kalau korang nak tahu, terdapat 2 lagi monumen baharu bakal ditempatkan di taman itu membabitkan masjid dari Timur Tengah dan China.

Jadi semakin meriahlah kunjungan korang jika ke Taman Monumen ni nanti...

Sumber: UTUSAN ONLINE

Destination: