Penjawat Awam Persekutuan Wajib Vaksin Sebelum 1 Nov, Jika Tak Berdepan Tindakan
TERKINIPerhatian kepada anda yang bergelar penjawat awam!
Semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan kini WAJIB mengambil vaksin COVID-19 dan perlu melengkapkan vaksinasi sebelum 1 November 2021.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi kenyatan di Facebook hari ini memaklumkan arahan terbaharu itu adalah bagi memberi keyakinan dan jaminan kepada orang awam untuk memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Selain, ianya selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut JPA, peratusan pegawai awam Persekutuan yang mengambil vaksin telah mencapai hampir 98 peratus, manakala kelompok yang masih belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil iaitu hanya 1.6 peratus melibatkan 16,902 orang.
JPA berkata pegawai yang belum divaksin dalam tempoh ini hendaklah hadir secara walk-in atau jumpa terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh kerajaan.
“Bagi pegawai yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, pegawai hendaklah mengemukakan kepada ketua jabatan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan,” katanya.
JPA berkata sekiranya pegawai awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.
Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], kata JPA.
Sumber: Facebook JPA