Tiada Halangan Rentas Negeri Untuk Golongan Tiada Vaksin, Namun Tidak Dapat Nikmati Kelonggaran Golongan Lengkap Vaksin

TERKINI
October 07, 2021 - 10:18 PM


Tiada halangan bagi mereka yang tidak menerima vaksin untuk rentas negeri. 

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, cadangan untuk menghalang golongan tidak divaksin daripada merentas negeri telahpun dibincangkan, namun pelaksanaannya remeh, dan sukar dikuatkuasakan. 

Namun, mereka yang tidak mendapat vaksin masih lagi tidak boleh menikmati kelonggaran seperti makan di kedai makan, dan seumpama dengannya. 

"Kita dah kaji cadangan itu tapi tiada cara untuk kuat kuasakannya. Takkan nak laksana sekatan jalan raya untuk periksa setiap individu, kerana rakyat akan marah jika jalan sesak sedangkan mereka sudah tunggu lama untuk rentas negeri.

"Ini tidak seperti gelembung pelancongan di Langkawi kerana jumlahnya tidak ramai. Ini (rentas negeri) babitkan jalan keluar masuk di semua negeri, mustahil untuk kita periksa semua.

"Cuma SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada akan terus digunakan. Ertinya, jika ada individu belum divaksin yang merentas negeri, dia tetap tidak boleh nikmati kelonggaran seperti makan di restoran dan seumpamanya," katanya.

Selain itu, kebenaran untuk merentas negeri akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari, dan tidak akan menggunakan prosedur operasi standard yang baharu, sebaliknya menggunakan SOP sedia ada. 

Ujian kendiri COVID-19 juga tidak akan diwajibkan, namun aman disarankan bagi mereka yang akan pulang ke kampung agar dapat menjaga keselamatan diri sendiri dan keluarga. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Portal COVIDNOW ketika ini menunjukkan kadar populasi dewasa yang lengkap divaksin sudah mencecah 88.8 peratus setakat tengah malam tadi, iaitu 1.2 peratus lagi sebelum rentas negeri dibenarkan.