Hati-Hati Kalau Pergi Pantai, Bomba Pantau Air Pasang Besar Di Port Dickson

TERKINI
October 08, 2021 - 07:34 PM


Jabatan Bomba dan Penyelamat Port Dickson kini sentiasa mengadakan rondaan sekitar pantai menjadi tumpuan pengunjung di daerah ini susulan berlakunya fenomena air pasang besar. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd. Hairul Izam Mazelan berkata, rondaan dan pemantauan itu bagi memastikan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku termasuk pada hujung minggu. 

Kami turut mengadakan pemantauan berskala mengikut data pasang surut air laut di sekitar pantai di daerah ini pada waktu pagi dan petang di kawasan kunjungan pengunjung.

“Pemantau data keadaan pada pagi ini menunjukkan air pasang pada tahap 3.26 meter manakala pada waktu petang 2.78 meter. 

“Pada keesokan hari pula pada tahap 3.23 meter (pagi) manakala, petang pula 2.71 meter. Jangkaan air pasang surut pada lusa 10 Oktober ini pula pada awal pagi 3.09 meter dan petang dijangka pada 2.58 meter,” katanya.

Menurutnya, keadaan air laut pada minggu ini amat membimbangkan bagi aktiviti di air susulan negara berada dalam fasa Monsun Timur Laut. 

“Pengunjung pantai juga dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa air laut dan sentiasa peka.

“Orang ramai terutama kanak-kanak hendaklah mengutamakan keselamatan di air dengan  sekurang-kurangnya menggunakan jaket keselamatan sebagai persediaan awal agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya lagi. 

Destination: