Aneh-Aneh Menu IKEA Sekarang, Terbaharu Ada Sosej & Aiskrim Arang Berwarna Hitam!

FOODIE
November 11, 2021 - 02:44 PM


Macam-macam pembaharuan serta inovatif dalam penghasilan menu dilakukan untuk pelanggan mereka setia kepada sesuatu jenama restoran itu.

Terbaharu, IKEA Malaysia membuat kejutan dengan memperkenalkan menu berasaskan arang iaitu Sosej Ayam Arang dan Aiskrim Arang Karamel.

Kedua-dua makanan tersebut pastinya berwarna hitam pekat, sebagaimana namanya yang menggunakan perkataan arang atau 'charcoal'.

Bermula awal November ini, IKEA menawarkan Charcoal Chicken Sausage atau Sosej Ayam Arang yang bukan sahaja daging sosej ayam tersebut berwarna hitam -- bahkan roti ban yang digunakannnya juga turut berwarna hitam.

Bagaimana pula dengan rasanya? Menurut beberapa perkongsian di internet, rata-rata yang telah mencuba hot dog ini mendakwa rasanya sama saja seperti sosej biasa.

Tidak ada pula yang mendakwa rasa sosej ini macam kayu arang atau mempunyai rasa hangit seperti daging ayam yang telah lama dibakar.

Namun, di celah-celah gigitan daging sosej ayam tersebut -- ada pembeli mendakwa sebenarnya terdapat juga cecair keju di dalamnya.

Oleh kerana cecair keju tersebut turut gelap seperti roti dan daging sosejnya, gambar tersebut hanya nampak warna hitam semata-mata dan dakwaan ini tidak dapat untuk dibuktikan.

Selain dari sosej berwarna hitam, IKEA turut melancarkan Aiskrim Arang Karamel yang turut berwarna hitam pekat, likat dan memikat.

Bukan sahaja aiskrim tersebut yang berwarna hitam, malah kon yang digunakan juga turut berwarna hitam seperti arang.

Oleh kerana warna hitamnya yang istimewa, harga sosej dan aiskrim ini juga lebih mahal dari harga sosej dan aiskrim biasa.

Jika harga hot dog dan aiskrim biasa ialah RM2.00 dan RM0.90, harga untuk menu terbaharu dari IKEA ini pula ialah RM3.90 dan RM1.90 masing-masing.

Hidangan kombo turut ditawarkan untuk mereka yang teruja untuk merasai kedua-dua hidangan baharu tersebut iaitu hanya RM5.50 sahaja bagi set Sosej Ayam Arang dan Aiskrim Arang Karamel.

Tinjauan di laman Facebook IKEACherasFanClub mendapati ramai yang telah mencuba menu baru ini yang boleh didapati untuk masa terhad sehingga 31 Disember 2021 ini sahaja.

Sumber: MakanLena

Destination: