Digigit Buaya Ketika Selfie Sehingga Cedera Parah

TERKINI
November 26, 2021 - 02:27 PM


Seekor buaya sepanjang 3.6 meter menggigit seorang pelancong di Filipina selepas kecuaian pelancong tersebut yang menyangka buaya itu sebagai model plastik. Pelancong tersebut bertiindak memecah masuk ke dalam kandang buaya itu untuk berswafoto namun sebaliknya yang terjadi.

Lapor Daily Mail, Nehemias Chipada, 68, ternampak buaya yang disangkanya sebagai model plastik semasa melawat taman hidupan Amaya View di Cagayan de Oro City pada 10 November lalu untuk menyambut hari jadinya. Ketika kejadian, Chipada berswafoto sambil memegang telefon bimbitnya pada satu tangan dan sebelah lagi diletakkan di bahagian pinggangnya.

Sesi bergambar itu bertukar ngeri apabila buaya sepanjang 3.6 meter itu melompat keluar dari air dan menggigit lengan warga emas itu lalu mengheretnya ke dalam kolam. Keseluruhan insiden itu turut disaksikan oleh keluarganya. Sebuah rakaman menunjukkan Chipada menjerit meminta tolong apabila reptilia ganas itu menggigit lengan kirinya. 

Namun, Chipada berjaya menyelamatkan dirinya daripada haiwan tersebut dengan keadaan tangannya yang tidak terputus sebelum dia dibawa ke pusat rawatan. Disebabkan kejadian itu, Chipada dan keluarganya berasa marah dan kesal kerana pihak zoo gagal meletakkan papan tanda amaran di kandang reptilia berkenaan. Hasil pemeriksaan doktor, Chipada disahkan mengalami patah tulang dan lapan luka di lengan dan paha kirinya yang memerlukan jahitan.