Camping di Pos Kuala Mu Sungai Siput Perak Sajikan Keindahan Alam Semulajadi
TRAVELPos Kuala Mu ni adalah perkampungan orang asli yang paling hujung berada di kawasan lembah berhampiran dengan Sungai Mu. Kawasan lembah ini berada pada ketinggian 600 ke 700 meter dari aras laut.
Yakni lebih tinggi dari Bukit Broga tu la ye. Perkampungan ini di huni oleh orang-orang Asli sejak dari dulu lagi. Terdapat banyak kampung orang asli di sini antaranya adalah Pos Kuala Mu, Pos Yum, Pos Redip dan lain-lain. Anggaran penduduk di kawasan ni lebih kurang 900 orang.
Pos Kuala Mu ni terkenal kerana ecopelancongan Suku Temiar yang menempatkan Chalet Kg. Bersah, Chalet Kg. Dusun dan Chalet dan Campsite Kg. Gapeh yang dibuka pada tahun 2017 yang lalu.
Keindahan Alam di Chalet Kampung Bersah Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak bakal mengamit jiwa bagi setiap pengunjung yang datang ke sini.
Suasana perkampungan pasti memberi aura yang agak kelainan, terutamanya yang suka aktiviti mencabar dan lari dari kesibukan kota.
Pos Kuala Mu terletak dalam daerah Sungai Siput, Perak. Jalan agak baik dan boleh datang dengan kereta tanpa perlunya pacuan 4 roda.
Perjalanan mengambil masa 2 jam dari Pekan Sungai Siput dan lebih kurang 3 jam dari bandar Ipoh.
Terdapat 20 buah chalet berbentuk rumah orang asli disediakan untuk para pengunjung yang ingin menginap di sini. Binaan yang sangat ringkas tapi unik dan menarik untuk merasai kehidupan seperti Orang Asli.
Harga chalet kecil RM60 utnuk satu malam dan chalet besar RM80.
Untuk makluman anda, penduduk orang asli di sini sangat menjaga kebersihan.
Bilik air tidak disediakan dalam chalet ni. Sama ada anda kena mandi dekat sungai atau dalam tandas yang disediakan.
Oleh disebabkan chalet ini berada agak di pedalaman, jadi menyukarkan anda mendapatkan restoren, anda perlu bawa segala peralatan memasak contohnya dapur gas, bahan makanan seperti beras, minyak , telur , ikan sardin dan sebagainya.
Tempat ini baru sahaja setahun dibina tapi mendapat permintaan yang sangat tinggi. Kalau anda berminat untuk bercuti di sini bersama keluarga, pastikan anda membuat tempahan sebulan lebih awal sebab takut penuh. Permintaan sangat tinggi untuk chalet yang cuma ada 20 buah sahaja.
Bagi yang berminat untuk menempah Chalet Kampung Bersah boleh hubungi En Saidin Ismail 0194117281 atau Facebook Kuala Mu
atau
CONTACT NO: 01115117527 En Johari,Kg gepeh, Pos Kuala Mu
Tips di Pos Kuala Mu
Tambahan kalau korang yang akan sampai sini..bawalah bekalan beras lebih...tadi ada sorang nenek orang asli datang...jual raga anyaman..kami beli raga...lepas tu dia tanya beras, bagi beras...lepas tu dia tnya ubat sakit kepala...saya bagi panadol sepapan...sorg lagi jual pucuk paku...kami beli pucuk paku jugak..nyum nyum nyum...esokla buat lauk...
Hati-hati jika bercuti di Pos Kuala Mu
Pelancong yang mahu berkunjung ke Pos Kuala Mu, di sini, dinasihatkan berhati-hati susulan hakisan tanah di Jalan Kuala Mu, baru-baru ini.
Pengerusi Koperasi Pos Kuala Mu, Hamid M Rafi, 38, berkata, musim tengkujuh serta kekerapan hujan menyebabkan rekahan terhasil di laluan berturap sekali gus mengurangkan kestabilan cerun.
"Jalan itu sememangnya berlubang sejak 2018 lagi namun lama-kelamaan rekahan semakin membesar dan kalau diikutkan sekarang, kawasan itu memang bahaya.
"Namun kita tidak boleh menafikan hasrat pelancong yang masih ingin berkunjung ke Pos Kuala Mu, cuma kita nasihatkan supaya berhati-hati sahajalah," katanya sewaktu dihubungi.
Pos Kuala Mu menjadi lokasi tumpuan melalui pembinaan 100 unit chalet yang diselenggara oleh komuniti Orang Asli.
Kawasan itu sudah dibuka kepada pengunjung sejajar dengan kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan pada 11 Oktober lalu.
Hamid berkata, kebelakangan ini hakisan menjadi semakin cepat terutama sejak Sabtu lalu susulan hujan lebat semalaman.
"Hakisan turut berpunca daripada aliran air longkang yang seterusnya membentuk rekahan yang semakin membesar," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, laporan sudah dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Kangsar kepada pihak forensik cerun JKR untuk tindakan lanjut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lintang itu berkata, tindakan awal pihak konsesi ialah meletakkan papan tanda amaran, penghadang serta lembaran kanvas plastik pada lokasi terbabit.
"Laporan kerosakan dibuat kepada Ibu Pejabat JKR Perak bagi mendapatkan peruntukan membaiki cerun itu, di samping pemantauan berterusan JKR Daerah Kuala Kangsar," katanya.
Sumber: Harian Metro
Sumber Gambar: malaysiacarcamping.com, Cuti2KakiTravel, FamilyCampingMalaysia