Siapa Kata Perlis Boring? Korang Tahu Tak Ada 3 Tarikan Pelancongan Baharu Kat Sana!

TRAVEL
January 07, 2022 - 12:30 PM


Disebabkan gelarannya sebagai negeri terkecil di Malaysia, ramai menyangka Perlis tidak mempunyai tarikan pelancongan yang istimewa untuk dilawati -- melainkan ia sekadar bersempadanan dengan negara Thailand.

Namun ternyata sangkaan itu kurang tepat apabila jika didekati Perlis Indera Kayangan sebenarnya mempunyai banyak lokasi tarikan pelancongan menarik dan menggamit kehadiran pengunjung.

Antara destinasi pelancongan yang kian menjadi tumpuan di Perlis termasuk Wang Kelian View Point, View Point Gunung Medan, Rumah Warisan Bandar Diraja Arau, Taman Buah-Buahan Eksotik Negeri Perlis, Perkampungan Pelangi di Kampung Seberang Ramai dan banyak lagi.

1) GUNUNG MEDAN

Begitu juga dengan tapak rekreasi di Gunung Medan yang sudah menjalani proses pembaikan dan pemulihan semula selain diberi nafas baharu oleh kerajaan negeri.

Pelbagai kemudahan rekreasi disediakan termasuk kawasan bersudut pandangan yang menyajikan pemandangan indah dari puncak Gunung Medan.

Tidak hairan jika ia kini menjadi tumpuan utama penduduk tempatan untuk bersantai dan beriadah pada hujung minggu.

2) RUMAH WARISAN BANDAR DIRAJA ARAU

Selain itu, Perlis juga memiliki tarikan pelancongan unik iaitu Rumah Warisan Bandar Diraja Arau yang terletak di Jalan Stesen Keretapi Arau.

Ia menampilkan rekaan rumah klasik dengan seni bina tradisional yang menarik untuk bergambar.

Bagi menampilkan kelainan, kawasan rumah tradisional itu juga dipasang lampu neon yang menyerikan lagi suasana pada sebelah malam.

Tidak ketinggalan, pameran pelbagai barangan vintaj termasuk motosikal lama, pelamin tradisional masyarakat Perlis dan perigi klasik.

Saban waktu, tidak kira siang atau malam, rumah warisan itu mempunyai tarikan tersendiri untuk dikunjungi.

3) KAMPUNG PELANGI DI KAMPUNG SEBERANG RAMAI

Bagi kaki bergambar, jangan ketinggalan berkunjung ke Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis untuk merakam momen indah di kawasan perkampungan tradisional yang dicat menarik dengan warna-warni.

Ia adalah hasil Program Transformasi Kampung yang membabitkan 184 rumah iaitu inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP).

Kampung Pelangi itu mampu menjadi lokasi pelancongan menarik dan pada masa sama dapat membantu membangunkan ekonomi penduduk setempat.

Jadi, sempena cuti sekolah yang masih ada, bawa keluarga tersayang berkunjung ke Perlis kerana negeri di utara Semenanjung itu memilik banyak lokasi menarik untuk dikunjungi.

Sumber: Harian Metro

Destination: