'Beli Makanan Dapat Pokok Percuma' - Unik Cara Restoran Ini Tarik Pelanggan

GAYA HIDUP
January 14, 2022 - 12:22 PM


Pernah tak anda beli makanan, tapi dapat percuma satu pasu pokok?

Jangan terkejut jika anda berbelanja di sebuah restoran di Damansara Perdana melebihi RM10, anda bakal membawa pulang pelbagai jenis tumbuhan seperti pokok hiasan aloe vera (lidah buaya), golden pothos (sirih gading) dan spider plant (lelabah) sebagai tanaman angkat.

Menarik, kan?!

Itulah keunikan yang cuba ditampilkan oleh "Restoran Deaf in Business" (DIB) bermula bulan Disember lepas bersama kumpulan Facebook Plant Swag (Swap/Gift) dalam usaha mempromosikan budaya persekitaran hijau kepada orang ramai.

Pengasas kumpulan Facebook itu Evangeline Lim berkata idea tersebut tercetus susulan terdapat lebihan pokok di rumah kalangan ahli ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac 2020 disebabkan aktiviti bertukar pokok dan program outreach tidak dapat dijalankan.

"Pada waktu itu, pertemuan secara bersemuka perlu dielakkan demi mematuhi SOP (prosedur operasi standard), jadi aktiviti penanaman pokok baharu tidak dapat diteruskan kerana ruang berkebun di balkoni penuh.

"Pada ketika itu juga ramai peniaga kecil terjejas teruk kerana COVID-19, jadi saya mendapat idea untuk membantu perniagaan mereka menerusi kolaborasi yang membolehkan pelanggan mendapat pokok sebagai hadiah percuma," katanya kepada Bernama.

Menurut Lim, projek komuniti diusahakan kumpulan yang mempunyai lebih 4,000 ahli aktif sejak 2018 itu antara lain bertujuan menanam rasa sayang terhadap tumbuhan dan alam sekitar sekali gus menggalakkan aktiviti berkebun di rumah dalam kalangan masyarakat.

Perunding pemasaran itu berkata inisiatif berkenaan juga diharap dapat membentuk ekosistem yang mendorong sikap saling membantu dalam masyarakat, selain berharap dapat berkolaborasi dengan lebih banyak pihak termasuk peniaga kecil pada masa akan datang.

"Bagi kolaborasi, premis perlu ada kemudahan parkir bagi memudahkan ahli menghantar tanaman, mempunyai akses kepada cahaya matahari selain perniagaan itu menawarkan barang jualan pada harga berpatutan," katanya yang mula bekerjasama dengan sebuah kafe lain sekitar Jun 2020 sebelum berganding bahu dengan Restoran DIB pada Disember tahun lepas.

Sementara itu, pemilik Restoran DIB Allen Teh berkata kerjasama bersama kumpulan itu bukan sahaja meningkatkan pendapatan perniagaannya malah menambah daya tarikan restoran yang dikendali 90 peratus pekerja orang kurang upaya (OKU) pendengaran itu.

"Seperti peniaga lain, kami juga tidak terkecuali daripada terjejas sejak COVID-19 melanda, tapi sejak menjalankan kerjasama ini pendapatan restoran bertambah dua kali ganda dan kedatangan pengunjung pada hujung minggu juga meningkat tiga kali ganda," katanya yang menganggarkan lebih 100 pokok sehari dijadikan tanaman angkat.

Sumber & Kredit Foto: BERNAMA

Destination: