Abu Dhabi Benar Pelancong Lengkap Vaksin Masuk, Walau Tanpa Booster!
TERKINISiapa yang tak suka kalau dapat melancong ke Abu Dhabi, kota mewah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjadi idaman terutama golongan wanita untuk shopping barangan jenama antarabangsa!
Terbaharu, pihak berkuasa negara itu mengumumkan bahawa syarat kemasukan ke Abu Dhabi, iaitu pelancong asing yang sudah lengkap dua vaksin tidak lagi perlu menunjukkan bukti sudah mengambil dos penggalak untuk melintas masuk ke bandar raya tersebut.
Perubahan yang memihak kepada sektor pelancongan itu bagaimanapun menimbulkan kekeliruan berkaitan syarat masuk ke Abu Dhabi.
Bandar raya itu selama ini mengenakan peraturan ketat berkaitan usaha mengekang risiko koronavirus, tidak seperti jirannya, Dubai, yang lebih longgar.
Pandemik telah membuatkan Abu Dhabi mengetatkan kawalan sempadannya dengan Dubai, hingga memaksa semua pemandu berhenti untuk melakukan ujian saringan dan pemeriksaan vaksinasi.
Ia sekali gus telah mencetus kesesakan di lebuh raya yang sebelumnya lengang.
Perubahan syarat yang kerap membuatkan ramai pihak yang sering bergerak keluar masuk bandar raya itu kini keliru.
Minggu lalu, pemandu kenderaan dari Dubai yang belum menerima suntikan dos penggalak diarahkan berpatah balik.
Pihak Emiriah kemudian menjelaskan bahawa semua rakyat dan pemastautin yang mahu masuk ke Abu Dhabi perlu menunjukkan bukti sudah mengambil dos penggalak supaya dianggap ‘lengkap divaksin’ dan mengekalkan ‘status hijau’ dalam aplikasi kesihatan kerajaan.
Namun kini, di laman web pelancongan Abu Dhabi menyatakan bahawa peraturan itu tidak dikenakan ke atas pelancong antarabangsa.
Mereka boleh memasuki bandar raya itu jika sudah lengkap dua dos vaksin.
Semua pengunjung, sama ada pemastautin atau pelancong luar, perlu menunjukkan hasil ujian negatif COVID-19 yang dibuat dalam tempoh dua minggu, sebelum dibenarkan memasuki Abu Dhabi dan juga kawasan umum termasuk pusat beli-belah serta gimnasium.
Sumber: Astro Awani