Wow! Pelancong Antarabangsa Ke Indonesia Tidak Perlu Menjalani Kuarantin!
TERKINIPelancong antarabangsa kini dibenarkan memasuki Indonesia tanpa perlu menjalani kuarantin, namun masih perlu menunjukkan keputusan negatif COVID-19.
Menteri Pelancongan Sandiaga Uno dalam satu kenyataan berkata dasar pengecualian kuarantin akan diperluaskan seluruh negara dan syarat kemasukan baharu bakal diumumkan Pasukan Petugas COVID-19 hari ini.
Ia susulan kejayaan program percubaan tanpa kuarantin selama dua minggu di Bali, Batam, Bintan dan program gelembung perjalanan sempena MotoGP 2022 di Mandalika, Nusa Tenggara Barat.
Pembukaan semula sempadan memberi nafas baharu kepada sektor perniagaan dan pelancongan serta membolehkan rakyat melancong ke luar negara dan kembali semula tanpa perlu menjalani kuarantin.
Langkah itu juga bertepatan sempena persediaan Indonesia menjelang sidang kemuncak G20 pada November di samping membantu negara mencapai sasaran menarik kunjungan 3.6 juta pelancong asing tahun ini.
Negara keempat paling ramai penduduk dunia itu merekodkan 4,699 jangkitan baharu COVID-19 pada Isnin, turun sedikit berbanding 5,992 kes pada Ahad, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 5,967,182 kes.
Sumber: Bernama