Malaysia Alami Banyak Hari Tanpa Hujan Sehingga September Depan

GAYA HIDUP
July 05, 2022 - 10:57 AM


Kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak sepanjang tempoh Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei lalu dan ia dijangka berterusan sehingga pertengahan September ini.

Menurut Jabatan Metrologi Malaysia (MetMalaysia), lazimnya semasa musim itu, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

“Keadaan ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan dan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak daripada bilangan hari hujan.

“Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

“Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” kata MetMalaysia dalam satu kenyataan di laman Twitter rasminya.

Dalam kenyataan sama, MetMalaysia memaklumkan Semenanjung Malaysia dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 milimeter (mm) hingga 300 mm pada Julai dan Ogos -- sebelum meningkat antara 150 mm hingga 450 mm pada September serta Oktober.

Pada November dan Disember, paras itu dijangka terus meningkat antara 150 mm hingga 850 mm yang dipengaruhi oleh Monsun Timur Laut.

Bagaimanapun, bagi kawasan pantai timur Kelantan dan Terengganu dijangka akan menerima hujan lebih sedikit.

Destination: