'Pasar Terapung Sri Tanjung' : Tarikan Terbaharu Kelantan Selepas Pasar Terapung Pulau Suri & Pengkalan Datu

TRAVEL
August 22, 2022 - 03:35 PM


Jika sebelum ini Kelantan memiliki 2 buah pasar terapung sebagai tarikan pelancongannya iaitu Pasar Terapung Pulau Suri dan Pengkalan Datu -- terbaharu ada satu lagi pasar terapung yang dibuka untuk tarikan ke Negeri Cik Siti Wan Kembang itu!

Nama pasar terapung yang baharu itu diberi nama "Pasar Terapung Sri Tanjung" yang terletak di Teluk Renjuna, Tumpat, Kelantan.

Mula dibuka sejak bulan Mei lalu -- Pasar Terapung Sri Tanjung sudah pun menerima purata antara 1,000 hingga 2,000 pengunjung hanya dalam tempoh 3 bulan pembukaannya.

Pasar itu hanya dibuka pada hujung minggu dan boleh diakses menerusi jeti di Kok Majid atau Kuala Besar, Kota Bharu -- yang mana pengunjung perlu menyusuri delta Sungai Kelantan sejauh 2 ke 4 kilometer.

Dengan menaiki bot tambang berharga RM6 seorang (pergi/balik) dari Jeti Kuala Besar, pengunjung dapat membeli makanan dan menjamu selera di pulau ini bersama keluarga.

Konsep Pasar Terapung di sini adalah sama seperti di Pasar Terapung Pulau Suri

Cuma berbeza sedikit adalah pengunjung di Pasar Terapung Sri Tanjung juga boleh menjalankan pelbagai aktiviti menarik seperti menyewa basikal dan menyewa bot untuk menelusuri pulau-pulau di Sungai Kelantan atau 'island hopping'.  

Terdapat 13 peniaga mempamer jualan dalam bot penambang di tepi jeti -- manakala 12 lagi menunggu pembeli di gerai di tebing sungai.

Pemilik tapak, Saidi Mamat@Ghani, 50, berkata, pihaknya membuka pasar itu mulai Mei lalu sebagai tarikan baharu bagi lokasi peranginan di kawasan berkenaan yang dipelopori sejak lima tahun lalu.

"Idea mempromosikan perkampungan di pulau ini sekali gus meningkatkan ekonomi masyarakat setempat, rata-ratanya nelayan dan bekerja kampung," katanya yang hanya mengenakan bayaran masuk RM1 setiap pengunjung.

Sementara itu, peniaga lokan bakar dan otak-otak, Hamidah Ismail, 51, berkata, kewujudan pasar terapung menjadi rezeki sampingan.

"Alhamdulillah cukup untuk menambah pendapatan, rezeki kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Kota Bharu, Tengku Harun Tengku Alias, 49, ke pasar itu bersama keluarga untuk merasai kemeriahannya dan menikmati makanan yang sukar ditemui.

"Suasananya meriah dan paling penting banyak prasarana disediakan kepada pengunjung. Ini penting dalam usaha mempromosikan kawasan ini kepada pelancong," katanya.

Sumber: Harian Metro

Destination: